KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam sebarang tindakan atau kenyataan yang disifatkan mencabar serta memperlekeh Institusi Raja Melayu dan prinsip Rukun Negara, sambil menyeru seluruh rakyat agar kembali menghayati asas kenegaraan demi memelihara keharmonian negara.
Pemangku Presidennya, Borhan Ahmad Zakaria berkata, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pembinaan Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor wajar dijadikan peringatan serius kepada semua pihak, khususnya wakil rakyat.
Menurut beliau, keadaan politik semasa yang semakin dipenuhi budaya provokasi, penghinaan dan sikap tidak menghormati institusi negara hanya akan mengundang ketegangan dalam masyarakat majmuk.
“Prinsip ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ bukan sekadar ungkapan rasmi, sebaliknya asas penting dalam mempertahankan kestabilan negara.
“Justeru, mana-mana pihak yang cuba mempersenda atau mencabar Institusi Raja sebenarnya sedang menghakis perpaduan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media.
PERKASA turut menegaskan, Rukun Negara lahir daripada pengalaman pahit tragedi 13 Mei 1969 dan tidak sepatutnya dipandang ringan atau dijadikan bahan politik.
Dalam kenyataan sama, PERKASA menyifatkan cadangan supaya wakil rakyat hadir sendiri ke Dataran Selangor untuk membaca serta menghayati Rukun Negara sebagai teguran yang tepat dan berhemah, bukannya isu untuk dipolitikkan.
“Segelintir pihak hari ini dilihat semakin berani memainkan sentimen kaum, agama dan kebencian politik sehingga mengetepikan adab serta batas Perlembagaan,” katanya.
PERKASA juga menyeru generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman ekstrem, budaya politik kebencian dan provokasi yang boleh menggugat keamanan negara.
Pada masa sama, pertubuhan itu menegaskan pendirian untuk terus mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan serta hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L