Anggota baharu Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sudah dilantik

KUALA LUMPUR – Anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) baharu sudah dilantik menurut sumber FMT, sekali gus membolehkan lembaga itu menyambung semula pendengaran petisyen pengampunan.

Menurut sumber terbabit, surat pelantikan itu dikeluarkan awal bulan ini bagi tempoh tiga tahun, namun berkuat kuasa pada penghujung April dengan membabitkan seorang hakim bersara dan bekas pegawai kanan polis.

Di bawah Perkara 42(6) Perlembagaan Persekutuan, semua ahli lembaga memegang jawatan selama tiga tahun dan layak dilantik semula, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan sebagai anggota Lembaga.

Bagaimanapun, seorang Ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri atau Ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri untuk menjadi anggota Lembaga Pengampunan atau untuk menjalankan buat sementara fungsi anggota Lembaga.

Kebiasaannya Lembaga Pengampunan terdiri daripada lima anggota iaitu Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri dan maksimum tiga anggota yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri kecuali Wilayah Persekutuan.

Perkara 42(11) turut memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sehingga tiga ahli ke dalam FTPB.

Awal bulan ini, FMT melaporkan jawatan itu kosong kerana pelantikan dibuat atas nasihat Kerajaan Persekutuan selaras dengan kerangka Perlembagaan.

Menurut Perkara 42(8) Perlembagaan, FTPB bersidang di hadapan Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan mesyuarat itu. Perlembagaan tidak menetapkan berapa kerap lembaga itu perlu bersidang setiap tahun.

Namun, kuorum penuh sehingga lima ahli boleh bersidang untuk mempertimbangkan sama ada memberi pengampunan, penangguhan dan pelepasan hukuman, atau mengurangkan, menggantung serta menukar hukuman yang dijatuhkan mahkamah, tambah sumber itu.

Perkara 42(5) memperuntukkan Peguam Negara adalah ahli lembaga itu.

Hannah Yeoh kini menganggotai lembaga itu atas kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Masih belum jelas sama ada FTPB turut akan mendengar permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada Mac lalu, FMT melaporkan Najib sudah mengemukakan permohonan pengampunan baharu kepada lembaga itu bagi mendapatkan pengampunan. – FMT

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *