Tukang cuci didakwa bunuh warga emas ketika samun

MANJUNG – Seorang tukang cuci didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas ketika menyamun rumah mangsa minggu lepas.

M. Manimaran, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Asma’ Nahdiyya Che Ab Rahim. 

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Tang Kai Kong, 85, di Jalan Melayu, Ayer Tawar dalam daerah Manjung antara jam 3 hingga 4 pagi 7 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 Ogos untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat dan kimia. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala Manimaran tidak diwakili peguam.

Pada prosiding sama, Manimaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung pada 12.30 tengah malam 8 Mei.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan. 

Bagi kes itu, dia diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Aini Osman. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *