Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru mahasiswa menjadi barisan hadapan dalam menolak politik perkauman sempit yang disifatkan hanya memecah-belahkan masyarakat dan menggugat keharmonian negara.
Beliau berkata, generasi muda perlu terus memainkan peranan sebagai agen perubahan yang membawa kemajuan negara berteraskan ilmu, nilai dan kematangan pemikiran.
Menurutnya, mahasiswa adalah kekuatan baharu yang mampu menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Masa depan Malaysia bergantung kepada keberanian dan kesediaan generasi muda untuk meruntuhkan tembok perkauman dalam politik picisan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama mahasiswa India di Universiti Malaya (UM).
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Menurut beliau, tambahan itu menjadikan keseluruhan peruntukan MITRA tahun ini meningkat kepada RM150 juta bagi memperkasa serta membantu masyarakat India yang miskin dan terpinggir.
“Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan prinsip keadilan sosial yang menjamin kebelaan dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang,” ujarnya lagi.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L