UTM Revolusikan Selut Industri Jadi ‘Emas Hitam’ Bernilai Tinggi

Oleh: Fatin Sajidah Fathuldin

JOHOR BAHRU – Selut yang selama ini dianggap sisa industri tidak bernilai kini berjaya ditransformasikan menjadi bahan teknologi premium menerusi inovasi penyelidik Universiti Teknologi Malaysia yang menghasilkan Tiub Nano Karbon Berbilang Dinding (MWCNTs) untuk kegunaan industri berteknologi tinggi.

Inovasi diketuai Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains UTM, Dr. Faizuan Abdullah itu menggunakan selut rawatan air bawah tanah sebagai pemangkin semula jadi bagi menghasilkan Carbon Nanotubes (CNT), bahan yang digelar “bahan ajaib” abad ke-21 kerana kekuatan luar biasa serta keupayaan pengaliran elektrik dan haba yang tinggi.

Menurut beliau, kandungan oksida besi dalam selut tersebut membolehkan bahan buangan itu bertindak sebagai pemangkin nano yang lebih efisien berbanding kaedah konvensional luar negara.

“Rahsia kejayaan teknologi ini terletak pada penggunaan selut itu sendiri sebagai pemangkin semula jadi yang sudah berada dalam skala nano, berbanding kaedah di luar negara yang sering menggunakan sisa industri yang perlu dikisar dan tidak mempunyai ketulenan hematit yang tinggi” katanya.

Melalui proses yang telah dipatenkan menggunakan kaedah Chemical Vapor Deposition (CVD), selut diproses bagi menghasilkan serbuk CNT berkualiti premium dengan kos pengeluaran sehingga lima kali ganda lebih rendah berbanding harga pasaran global.

“Apa yang lebih menakjubkan, nisbah penghasilannya sangat efisien dengan satu gram pemangkin mampu menghasilkan sehingga tiga gram CNT. Ini bermakna teknologi ini bukan sahaja membersihkan alam sekitar melalui konsep ‘Sisa kepada Kekayaan’, malah turut meningkatkan nilai guna karbon serta menyumbang kepada pengurangan jejak karbon,” ujar beliau lagi.

Produk “emas hitam” keluaran tempatan itu turut menerima pensijilan Nano Verify, membuktikan kualitinya setanding dengan produk import yang jauh lebih mahal.

CNT yang dihasilkan mempunyai kekuatan sehingga 100 kali ganda lebih kuat daripada besi namun ringan, menjadikannya bahan penting dalam industri aeroangkasa, semikonduktor, bateri kenderaan elektrik (EV), cip elektronik dan pembuatan peralatan berprestasi tinggi.

Selain itu, teknologi berkenaan turut berpotensi diaplikasikan dalam penghasilan produk pengguna seperti penyembur anti-bau hapak, sistem rawatan air berasaskan gelembung nano dan bahan komposit berprestasi tinggi.

Walaupun berdepan cabaran dari segi kapasiti pengeluaran dan keperluan fasiliti berskala besar, Dr. Faizuan berkata pihaknya kini giat mencari kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan industri bagi mempercepat usaha pengkomersialan teknologi tersebut.

Dengan potensi pasaran CNT global bernilai berbilion dolar, kejayaan UTM itu membuktikan kepakaran tempatan mampu mengubah sisa industri menjadi aset teknologi bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap teknologi masa depan.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *