Oleh Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali
DALAM usaha memperkukuh daya saing negara, pendekatan mengiktiraf kompetensi tenaga kerja sedia ada dilihat semakin kritikal, khususnya dalam mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir seperti digariskan dalam Dasar TVET Negara menjelang 2030.
Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), yang dilaksanakan melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kini muncul sebagai mekanisme strategik bagi memastikan pengalaman kerja tidak sekadar kekal sebagai pengalaman, tetapi diterjemahkan kepada kelayakan rasmi yang diiktiraf negara.
Selaras dengan keperluan semasa, pendekatan ini turut diperkasakan melalui pengenalan PPT 2.0, iaitu penambahbaikan kepada sistem sedia ada yang lebih mesra pemohon, fleksibel dan responsif kepada keperluan industri.
Inisiatif ini dijangka mempercepatkan kadar pengiktirafan kompetensi dalam kalangan tenaga kerja sedia ada. Melalui pendekatan ini, pekerja berpengalaman tidak perlu mengulang latihan dari peringkat asas.
Sebaliknya, mereka dinilai berdasarkan kompetensi sebenar mengikut National Occupational Skills Standards (NOSS), seterusnya melayakkan mereka memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).
Dalam konteks pasaran kerja semasa, keperluan kepada kelayakan formal semakin mendesak. Majikan bukan sahaja menilai pengalaman, tetapi memerlukan bukti kompetensi yang standard, boleh diukur dan diyakini.
Tanpa kelayakan, kompetensi pekerja sukar diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang sebenar, sekali gus mengehadkan mobiliti kerjaya dan potensi peningkatan pendapatan.
Statistik Tenaga Buruh Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2025 menunjukkan bahawa peratusan tenaga kerja mahir di negara ini masih berada sekitar 29.2 peratus, berbanding sasaran 35 peratus.
Dengan jumlah penduduk bekerja mencecah 17.47 juta orang, negara memerlukan tambahan kira-kira satu juta tenaga kerja mahir dalam tempoh singkat bagi menutup jurang tersebut.
Lebih signifikan, kumpulan pekerja separa mahir merangkumi 60.5 peratus daripada keseluruhan pasaran kerja. Hakikatnya, sebahagian besar daripada mereka telah memiliki kompetensi industri yang tinggi, namun tidak mempunyai kelayakan formal yang diiktiraf.
Sehubungan itu, PPT terutamanya melalui pendekatan baharu PPT 2.0 dilihat sebagai pemangkin utama dalam mempercepatkan transformasi tenaga kerja negara. Melalui pengiktirafan yang lebih cekap dan sistematik, kompetensi sedia ada dapat diterjemahkan kepada kelayakan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pengeluaran graduan baharu atau latihan jangka panjang.
Pendekatan ini juga selari dengan agenda (R)Evolusi TVET yang menekankan sistem latihan lebih fleksibel, responsif dan berpaksikan industri. Dalam masa sama, ia membuka peluang lebih inklusif kepada pekerja berpengalaman, termasuk mereka yang tidak melalui laluan akademik formal, untuk diiktiraf setara berdasarkan kompetensi.
Pelaksanaan PPT secara agresif, khususnya melalui pendekatan yang dipermudah seperti PPT 2.0, mampu mempercepatkan pencapaian sasaran tenaga kerja mahir negara dengan lebih efisien dan kos efektif.
Ini kerana proses penilaian berasaskan pengalaman jauh lebih pantas berbanding laluan latihan konvensional yang memerlukan tempoh panjang serta kos tinggi.
Hakikatnya, dalam ekonomi moden, kompetensi tanpa kelayakan tidak lagi mencukupi. Negara yang ingin kekal berdaya saing perlu beralih daripada sekadar melatih tenaga kerja baharu kepada mengoptimumkan potensi tenaga kerja sedia ada.
Sehubungan itu, Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik negara dalam memastikan Malaysia mampu melonjak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi dengan tenaga kerja yang kompeten, diiktiraf dan berdaya saing di peringkat global.
Selamat Hari Pekerja 2026
“Pekerja Madani Kesuma Bangsa”
Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali adalah Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L