SYDNEY – Penunjuk perasaan yang marah bertempur dengan polis Australia di luar sebuah hospital yang merawat suspek pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia lima tahun di bandar pedalaman Alice Springs.
Imej yang disiarkan media tempatan pada Jumaat menunjukkan suasana diselubungi gas pemedih mata, sebuah van polis terbakar serta orang ramai menjerit ke arah anggota polis bersenjata yang cuba mengawal keadaan ketika pertembungan berlaku pada waktu malam.
Keganasan itu berlaku susulan penemuan mayat pada Khamis di selatan Alice Springs, dipercayai milik kanak-kanak perempuan berkenaan, yang dikenali atas permintaan keluarganya sebagai Kumanjayi Little Baby.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang dari kem masyarakat Orang Asli dikenali sebagai Old Timers pada lewat malam Sabtu, sekali gus mencetuskan operasi pencarian besar-besaran selama beberapa hari membabitkan berjalan kaki, menunggang kuda dan helikopter, yang menarik perhatian seluruh negara.
Polis berkata, bedah siasat rasmi akan dijalankan ke atas mayat kanak-kanak itu yang ditemui kira-kira lima kilometer dari kem berkenaan.
Beberapa jam selepas mayat ditemui, polis mengumumkan mereka telah menahan suspek, Jefferson Lewis, 47.

Lewis dipukul sehingga tidak sedarkan diri selepas menyerah diri kepada ahli masyarakat Orang Asli pada petang Khamis di sebuah kem berhampiran Alice Springs di tengah Australia.
Apabila polis dan perkhidmatan kecemasan campur tangan, mereka turut diserang, kata Pesuruhjaya Polis Wilayah Utara, Martin Dole.
“Ketika kami menahannya, dia tidak sedarkan diri dan sedang dirawat oleh anggota Ambulans St John apabila mereka turut diserang bersama polis.
“Lewis kemudian dibawa ke hospital. Sekumpulan besar orang berkumpul dan cuba memasuki hospital itu.
“Kami menggerakkan semua sumber yang ada untuk mengawal gangguan ganas itu dan saya ingin tegaskan bahawa kelakuan yang kita saksikan malam tadi tidak boleh dijelaskan, dimaafkan atau diterima,” katanya pada sidang media.
Dole berkata beberapa anggota polis cedera di hospital, dan seorang pegawai dirawat akibat kecederaan di kepala semasa penahanan suspek.
Tambah beliau, kakitangan ambulans dan bomba turut diserang, dengan seorang anggota bomba dan penyelamat mengalami kecederaan muka yang serius.
Seorang wanita sedang disiasat kerana didakwa cuba membakar sebuah kereta polis.
Ramai orang di luar hospital dilaporkan menjerit bahawa Lewis perlu menerima ‘balasan’, lapor penyiar awam ABC, merujuk kepada hukuman tradisional dalam masyarakat Orang Asli di tengah Australia.
“Saya menyeru semua pihak bertenang,” kata Dole.
Polis berkata Lewis telah dipindahkan dari hospital demi keselamatannya ke Darwin, ibu kota Wilayah Utara, dan kini berada dalam tahanan serta dijangka didakwa dalam beberapa hari akan datang.
Ketua Menteri Wilayah Utara, Lia Finocchiaro, berkata kematian kanak-kanak itu adalah ‘mimpi ngeri terbesar kami’.
Namun, beliau menegaskan ia bukan alasan untuk keganasan, sambil mengimbas perpaduan masyarakat ketika operasi pencarian dijalankan.
“Minggu ini, kita melihat bandar ini bersatu, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini — ratusan orang berjalan bersama meredah rumput panjang, merentasi belukar, memastikan tiada satu pun kawasan tertinggal.
“Saya tidak mahu malam tadi menjejaskan usaha luar biasa itu,” katanya.
Robin Granites, jurucakap keluarga dan pemimpin suku Orang Asli Warlpiri, menyeru ketenangan dikekalkan dalam masyarakat.
“Sekarang adalah masa untuk upacara berkabung, menunjukkan hormat kepada keluarga dan memberi ruang untuk berkabung serta mengenang.
“Kita perlu saling kuat, kita mesti menghormati keluarga dan amalan budaya,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L