Arahan Kosongkan Balai Undang Sungei Ujong Cetus Kontroversi, Dipersoal Jejas Tertib Adat

SEREMBAN – Arahan pengosongan segera Balai Undang Luak Sungei Ujong di Ampangan di sini, mencetuskan polemik baharu apabila disifatkan sebagai tindakan tergesa-gesa yang berpotensi mengganggu keharmonian institusi adat di Negeri Sembilan.

Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Sembilan dalam satu kenyataan bersama hari ini, meluahkan kekesalan terhadap arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu, yang menetapkan pemindahan serta penempatan semula kakitangan berkuat kuasa pada 28 April, diikuti pengosongan premis sehari selepasnya.

Menurut kenyataan tersebut, tindakan itu dilihat tidak mengambil kira sensitiviti semasa, memandangkan Balai Undang Luak Sungei Ujong ketika ini sedang mengendalikan pertikaian dalaman yang belum diselesaikan melibatkan kepimpinan Undang.

“Keputusan ini bukan sahaja tidak wajar, malah boleh ditafsir sebagai mendahului proses adat yang sepatutnya diberi ruang dan keutamaan. Ia mencerminkan penggunaan kuasa pentadbiran tanpa pertimbangan mendalam terhadap implikasi adat,” menurut kenyataan berkenaan.

Sayap UMNO negeri turut menegaskan, Institusi Undang Luak mempunyai kedudukan istimewa dalam struktur adat Negeri Sembilan, selain termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959.

Justeru, sebarang tindakan yang melibatkan kemudahan rasmi institusi tersebut perlu dilaksanakan secara berhemah, bertertib dan penuh kebijaksanaan.

Mereka berpandangan, langkah pengosongan yang dibuat secara tergesa-gesa hanya menguatkan persepsi bahawa krisis yang berlaku gagal diurus dengan baik oleh kepimpinan kerajaan negeri.

“Ini bukan soal kepentingan politik, tetapi menyentuh keupayaan pentadbiran dalam mengurus krisis dengan menghormati adat, menjaga maruah institusi dan keyakinan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Balai Undang Sungei Ujong menerima surat rasmi bertarikh 29 April yang mengarahkan pengosongan premis dilakukan serta-merta.

Surat tersebut ditandatangani Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, susulan keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang serta Dewan Undangan Negeri pada 17 April lalu.

Bagaimanapun, pihak balai telah mengemukakan maklum balas dengan menangguhkan pematuhan terhadap arahan tersebut.

Dalam surat balasan yang dihantar pada hari sama, mereka menyatakan penangguhan itu dibuat atas keperluan mengurus krisis mendesak yang sedang dihadapi oleh institusi Undang Luak Sungei Ujong.

Situasi ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan antara kuasa pentadbiran dan keutamaan adat dalam menangani isu yang melibatkan institusi tradisional negeri.

Perkembangan seterusnya dijangka terus menjadi tumpuan, khususnya dalam memastikan penyelesaian yang tidak menjejaskan keharmonian serta warisan adat Negeri Sembilan.

Top of Form

Bottom of Form

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *