Lavreysen puji ketahanan Azizulhasni menjelang kemungkinan pertembungan di laman sendiri

NILAI – Jaguh berbasikal trek Belanda, Harrie Lavreysen memuji ketahanan dan pengalaman luas ikon pecut negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjelang kemungkinan pertemuan mereka di Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, di sini hari ini.

Lavreysen berkata dia sudah lama mengagumi Mohd Azizulhasni, yang dikenalinya sejak awal pembabitan dalam sukan itu, selain menghormati kemampuan pelumba Malaysia itu kembali cemerlang selepas mengalami masalah jantung dan kekal bersaing di tahap tertinggi pada usia semakin meningkat.

“Saya sangat menghormatinya. Saya masih ingat ketika mula menyertai berbasikal trek, dia sudah lama dalam sukan ini dan di Kejohanan Dunia pertama saya pada 2017, dia menjadi juara dunia acara keirin. Itu kejohanan dunia pertama saya, jadi memang saya sudah lama mengenalinya.

“Dan saya sangat kagum, walaupun selepas mengalami masalah jantung dia tetap kembali dan saya ingatkan dia akan bersara selepas Sukan Olimpik Paris tetapi ternyata dia masih ada di sini. Saya tidak sangka dia masih sepantas itu pada usianya sekarang,” kata pemenang pingat emas Olimpik itu ketika ditemui wartawan tempatan di sini malam tadi.

Lavreysen berkata Mohd Azizulhasni, yang dikenali sebagai “Pocket Rocketman” akan terus menjadi pencabar utama malah berpotensi meningkatkan prestasi lebih tinggi di hadapan penyokong sendiri. 

Pelumba berusia 29 tahun itu turut berharap kedua-dua mereka dapat mara ke final, sekali gus mencipta pertembungan hebat yang dinantikan peminat tempatan.

“Sudah tentu saya mahu menang tetapi saya rasa prestasinya ketika ini sangat baik. Saya lihat dia menang pada Piala Dunia pertama di Perth dan saya bimbang dia akan bertambah baik di sini.

“Berlumba di tempat sendiri sesuatu yang besar, jadi pastinya lebih sukar untuk saya tetapi saya amat menantikan saat dapat berlumba dengannya. Sudah lama kami tidak bertembung dalam pertandingan,” kata juara dunia 2025 bagi acara keirin dan pecut itu.

Mengenai keadaan trek, Lavreysen menyifatkan permukaan trek laju dan memuji sistem penyejukan dalam dewan yang membantu pelumba Eropah menyesuaikan diri dengan cuaca panas.

Dalam aksi semalam, Lavreysen membantu Belanda meraih pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan dan dijadualkan bertanding dalam acara pecut individu dan keirin bermula hari ini.

Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 yang berlangsung tiga hari bermula semalam, menyaksikan penyertaan lebih 40 negara serta menampilkan ramai pelumba terbaik dunia. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *