JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dakwaan kononnya lawatan rasmi beliau ke Afrika tahun lalu bertujuan menyembunyikan wang yang diseleweng adalah tidak berasas dan berunsur fitnah serius.
Beliau secara terbuka mencabar mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan itu mengemukakan bukti kukuh, sambil menegaskan, tiada sesiapa pun kebal daripada tindakan undang-undang sekiranya benar berlaku salah laku.
Menurut beliau, tuduhan tanpa asas hanya akan merosakkan budaya masyarakat dan mencetuskan persekitaran yang dipenuhi spekulasi tidak sihat.
Justeru, beliau enggan melayan dakwaan sedemikian yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
“Kalau ada bukti, kemukakan. Kita tidak boleh biarkan ruang awam menjadi medan fitnah. Saya sendiri tidak mempunyai masa untuk melayan perkara seperti ini kerana tumpuan perlu diberikan kepada tugas dan tanggungjawab yang lebih penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim, di sini semalam.
Dakwaan tersebut timbul susulan penularan sebuah video di media sosial yang memaparkan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini, yang sebelum ini dikaitkan sebagai saksi dalam kes rasuah melibatkan ahli perniagaan Albert Tei serta bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Akin.
Dalam video berkenaan, wanita itu membuat tuduhan bahawa Anwar berada di Afrika untuk menyimpan wang yang didakwa diseleweng.
Untuk rekod, lawatan rasmi Perdana Menteri ke benua Afrika pada 18 hingga 24 November 2025 melibatkan tiga negara iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.
Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik serta meneroka peluang pelaburan baharu bagi Malaysia di rantau berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyentuh mengenai kemelut membabitkan institusi beradat di Negeri Sembilan.
Beliau berpandangan isu tersebut wajar diselesaikan mengikut lunas undang-undang adat negeri, tanpa campur tangan yang boleh merumitkan keadaan.
“Keadaan kini semakin reda. Mungkin memerlukan sedikit masa, namun kita harus memberi ruang kepada pihak berkaitan untuk menanganinya dengan bijaksana,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan, tindakan Datuk Mubarak Dohak yang mengisytiharkan penurunan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf.
Ini kerana Mubarak didakwa tidak lagi mempunyai kuasa sah sebagai Undang Luak Sungai Ujong serta bertentangan dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Susulan itu, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Negeri Sembilan yang sebelum ini dirasmikan oleh Tuanku Muhriz turut ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L