Hamzah Dijangka Umum Parti Baharu 13 Jun

KUALA LUMPUR – Selepas hampir empat bulan berdepan ketidaktentuan politik susulan pemecatannya daripada BERSATU, bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dijangka merealisasikan impiannya untuk memimpin sebuah parti politik baharu pada 13 Jun ini.

Sumber memaklumkan Ahli Parlimen Larut itu kini berada di peringkat akhir rundingan bagi mengambil alih sebuah parti politik sedia ada yang bakal dijadikan platform baharu untuk beliau dan kumpulan yang dikenali sebagai “Reset”.

Menurut sumber, usaha sebelum ini untuk menggunakan Parti Keluarga Malaysia (PKM) sebagai kenderaan politik berdepan beberapa halangan, menyebabkan rundingan kini lebih tertumpu kepada Parti Berjasa Malaysia (BERJASA).

“Rundingan masih berjalan dan setakat ini perkembangan sangat positif. Jika tiada sebarang halangan, pengumuman rasmi dijangka dibuat pada 13 Jun,” katanya.

Sebelum ini, Hamzah dilaporkan merancang mengumumkan parti baharunya pada 23 Mei lalu, namun rancangan itu tertangguh berikutan beberapa faktor termasuk ketiadaan beberapa pemimpin utama yang sedang menunaikan ibadah haji.

Sejak dipecat dari BERSATU pada Februari lalu, Hamzah sering dikaitkan dengan usaha membentuk platform politik baharu bersama beberapa bekas pemimpin kanan parti itu termasuk Datuk Saifuddin Abdullah, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Difahamkan, antara objektif utama penubuhan platform baharu itu adalah bagi memastikan kumpulan berkenaan terus mempunyai wadah politik yang tersusun menjelang pilihan raya akan datang.

Pada masa sama, terdapat spekulasi bahawa parti yang bakal dipimpin Hamzah akan bekerjasama rapat dengan Perikatan Nasional (PN), walaupun status penyertaannya sebagai komponen rasmi gabungan itu belum dimuktamadkan.

Perkembangan terbaharu itu dijangka menjadi antara perhatian utama arena politik negara memandangkan Hamzah masih dianggap sebagai antara tokoh berpengaruh dalam blok pembangkang.

Sekiranya pengumuman tersebut menjadi kenyataan, ia bakal menandakan kemunculan satu lagi pemain politik yang berpotensi mempengaruhi percaturan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *