KUALA LUMPUR – Inspace Creation Bhd, penyedia perkhidmatan pemasangan dalaman komprehensif melancarkan prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd yang dijangka mengumpul kira-kira RM17.13 juta.
Dana itu akan diperoleh menerusi penerbitan 68.50 juta saham baharu pada harga IPO sebanyak 25 sen sesaham.
Daripada jumlah hasil yang diperoleh, sebanyak RM6 juta akan diperuntukkan bagi perbelanjaan modal untuk menyediakan ruang penyimpanan dan ruang ‘mock-up’ yang membolehkan pelanggan melihat serta merasai konsep reka bentuk secara fizikal.
Selain itu, RM4.39 juta akan digunakan sebagai modal kerja bagi membiayai pembelian bahan, pembayaran yuran subkontraktor bagi projek semasa dan akan datang, serta menampung perbelanjaan operasi dan pentadbiran.
Kumpulan juga memperuntukkan RM2.74 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, manakala baki RM4 juta akan digunakan bagi menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian berkaitan pelaksanaan IPO.
Dengan rekod prestasi kira-kira lapan tahun dalam industri pemasangan dalaman, Inspace Creation menawarkan rangkaian perkhidmatan bermula daripada perancangan awal dan konseptualisasi reka bentuk kreatif, sehingga pembinaan berskala penuh serta penyelenggaraan teknikal selepas siap.
Melalui anak syarikat utamanya, IDPM Sdn Bhd, kumpulan mengekalkan pendaftaran Gred 7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), yang membolehkan Kumpulan menender dan melaksanakan projek bernilai kontrak tanpa had di seluruh Malaysia.
Sehingga kini, Inspace Creation telah melaksanakan lebih 110 projek dengan nilai kontrak kumulatif melebihi RM170 juta.
Portfolio projek utama kumpulan termasuk pemasangan dalaman di Tun Razak Exchange (TRX) dan Bukit Bintang, selain pelbagai pembangunan komersial terkemuka di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Pengarah Eksekutif Inspace Creation, Wong Chong Siong, berkata selepas penyenaraian, kumpulan akan memberi tumpuan kepada projek pemasangan pejabat korporat berskala lebih besar, selain mempelbagaikan segmen perniagaan termasuk bekerjasama dengan pemaju bagi projek unit pameran dan galeri jualan.
“Selepas penyenaraian, kami turut melihat peluang pertumbuhan jangka panjang melalui projek unit pameran, galeri jualan dan sektor hospitaliti, selain memperluaskan operasi ke Pulau Pinang dan Johor,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran prospektus syarikat di sini, hari ini.
Menurut Laporan Penyelidikan Pasaran Bebas, industri pemasangan dalaman Malaysia dijangka terus berkembang dengan nilai kerja meningkat daripada RM2.8 bilion pada 2025 kepada RM3.5 bilion menjelang 2027, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 11.8 peratus.
Pertumbuhan ini didorong oleh perkembangan hartanah komersial, keperluan ruang kerja yang lebih berfungsi dan kondusif, serta peningkatan dalam sektor pengguna akhir termasuk pelancongan, runcit, pelaburan asing dan pelaburan domestik.
Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini sehingga 22 April 2026, manakala Inspace Creation dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 8 Mei 2026.
Selepas penyenaraian, Inspace Creation dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM92.33 juta berdasarkan harga IPO 25 sesaham dan modal saham terbitan diperbesar sebanyak 369.30 juta saham.
TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO itu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L