PETALING JAYA – Seorang anggota tentera berpangkat prebet yang sebelum ini dilaporkan cedera parah akibat dipukul dalam kem disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Temerloh pada pagi ini.
Mangsa, Muhammad Amirul Raziq Rosafindi dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 pagi selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat kecederaan serius yang dialaminya.
Bapanya, Rosafindi Tambi Chik, 49, memaklumkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan.
Terdahulu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas dipercayai dipukul oleh seorang anggota berpangkat koperal dalam kejadian pada 31 Mac lalu.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati berkaitan tugasan pembersihan stor senjata.
Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) didakwa menggunakan kekerasan terhadap tujuh anggota lain di Kem Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Difahamkan, suspek yang berusia 37 tahun bertindak menampar dan menumbuk mangsa di bahagian muka serta perut.
Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati suspek turut memukul, menendang dan menyerang mangsa di beberapa bahagian badan.
Beliau turut memaklumkan enam lagi anggota berusia antara 19 hingga 22 tahun berada di lokasi kejadian ketika insiden tersebut berlaku.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L