Pelajar USM bawa inovasi negara ke pentas antarabangsa pertandingan roket AS

NIBONG TEBAL – Sekumpulan 10 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) bakal mengharumkan nama negara apabila bersiap sedia menyertai International Rocket Engineering Competition 2026 (IREC 2026) yang berlangsung di Midland, Texas, Amerika Syarikat dari 15 hingga 20 Jun ini. Penyertaan ini mencerminkan keupayaan generasi muda tempatan dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di peringkat global.

Pasukan yang dikenali sebagai WAU Rocketry USM itu akan bergandingan bersama satu lagi wakil negara dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam pertandingan roket antara universiti terbesar dunia. Acara berprestij ini menghimpunkan pelajar antarabangsa untuk mencabar kreativiti dan kemahiran mereka dalam mereka bentuk, membina serta melancarkan roket masing-masing.

Menurut Ketua Pasukan, P. Vymarleena Avriel, 23, roket yang diberi nama APEX-1 dibangunkan dengan sasaran mencapai ketinggian 10,000 kaki dan akan bertanding dalam kategori Commercial Off The Shelf (COTS). Beliau menjelaskan bahawa penyertaan ini bukan sahaja menguji keupayaan teknikal pasukan, malah menjadi platform untuk memperkenalkan inovasi tempatan di mata dunia.

APEX-1 ialah roket penyelidikan berkuasa tinggi yang lebih kompak dan sesuai untuk pertandingan kejuruteraan akademik, namun masih memerlukan reka bentuk, simulasi dan ujian yang rapi.

“IREC 2026 sebenarnya adalah pertandingan kejuruteraan yang melibatkan pelancaran roket dan disertai pelajar dari seluruh dunia. Kami lancar roket dan bersaing,” katanya.

“Saya boleh katakan berdasarkan prestasi pasukan dan kemajuan teknikal dan kejuruteraan, saya amat yakin dan berharap sekurang-kurangnya dapat berada dalam kelompok lima terbaik, malah kami yakim berupaya mencatat pencapaian lebih baik,” katanya kepada Bernama di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Kampus Kejuruteraan USM di sini.

Sebagai peserta tunggal wanita dalam pasukan, Vymarleena Avriel berkata persediaan ke IREC mengambil masa hampir setahun, bermula dengan proses permohonan secara dalam talian yang memerlukan reka bentuk berbantukan komputer (CAD), simulasi serta laporan teknikal terperinci.

Pertandingan itu melibatkan beberapa fasa penilaian termasuk Preliminary Design Report (PDR), Critical Design Review (CDR) dan Flight Readiness Review (FRR) sebelum pasukan dibenarkan melakukan pelancaran.

Pelajar tahun ketiga Kejuruteraan Aeroangkasa itu berkata untuk menyeimbangkan antara komitmen akademik dan projek antara cabaran terbesar pasukan.

“Kebanyakan kami ialah pelajar tahun ketiga yang mempunyai jadual padat, masa kami berada di makmal lama dan sehingga lewat malam, malah ketika cuti semester kami tetap berada di kampus,” katanya.

Selain cabaran teknikal, Vymarleena Avriel berkata kekangan kewangan turut menjadi halangan besar, justeru pasukan itu giat mendapatkan penajaan daripada syarikat, agensi kerajaan dan pemain industri, serta berjaya memperoleh sebahagian dana sambil terus berusaha menampung baki kos.

“Sebagai pasukan pelajar, pembiayaan antara cabaran terbesar kami, bukan sahaja untuk komponen roket tetapi juga perbelanjaan perjalanan ke Amerika Syarikat,” katanya yang bercita-cita menjadi angkasawan.

Disebabkan sekatan peraturan di Malaysia, roket itu akan dipasang di dalam negara, kemudian dibuka semula untuk dihantar ke AS, sebelum dipasang kembali di sana, dan enjin yang tertakluk kepada peraturan ketat akan dipasang sebelum pelancaran.

Sementara itu, penyelia projek Chang Wei Shyang memuji disiplin dan kemajuan yang dicapai pasukan itu dan menyifatkan penyertaan dalam pertandingan seperti IREC memberikan kesan yang cukup besar melebihi aspek akademik.

“Kami pernah meraih tempat ketujuh pada 2022, dan bertanding sekali lagi pada 2023, namun selepas itu tidak dapat menghantar pasukan berikutan kekangan kewangan dan cabaran mendapatkan pelajar cemerlang untuk meneruskan usaha ini.

“Bagaimanapun, kumpulan baharu ini mempunyai semangat yang tinggi untuk meneruskan projek itu. Saya dapat melihatnya daripada kesungguhan dan disiplin mereka dalam menyiapkan tugasan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan …,” katanya.

Chang yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM itu berkata pencapaian pasukan berkenaan membuktikan keupayaan pelajar, sekali gus menunjukkan Malaysia mampu bersaing dengan universiti terkemuka dunia selain mencerminkan kemajuan teknologi negara.

Beliau berkata semakin ramai pelajar di negara ini berminat dalam bidang aeroangkasa, menyaksikan pertambahan enrolmen dan peluang industri, termasuk lebih 300 syarikat berkaitan aeroangkasa.

Untuk rekod, WAU Rocketry USM sebelum ini meraih tempat ketiga dalam Kategori Antarabangsa A4 pada Pertandingan Roket Teknofest 2025 di Aksaray, Turkiye selepas berjaya melancarkan roket Hebat-3.

Enam peserta pasukan itu termasuk Vymarleena Avriel turut menyertai program mobiliti antarabangsa di Hochschule Stralsund, Jerman, sekali gus memperoleh pengalaman praktikal dalam pembuatan enjin roket hibrid.

Pasukan itu turut disertai Lim Wiky, Danish Irfan Saiful Nizam, R. Krishna Baniel, Aizad Aizal Abdul Aziz, K. Aditteya, Muhammad Hafiz Hakimy Gazali, Muhammad Farhat Mohd Sharipa, M. Saravanan, dan S. Loganraj.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *