KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa telah menerima satu lagi surat tunjuk sebab dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertarikh 9 April 2026, berkaitan beberapa kenyataan dan tindakannya yang sebelum ini menjadi perhatian Lembaga Disiplin parti.
Menurut beliau, surat tersebut adalah surat tunjuk sebab kedua yang dikeluarkan Lembaga Disiplin parti dengan rujukan LD2025-2028/TS/030.
Susulan penerimaan surat itu, beliau telah menyediakan dan menghantar jawapan balas secara bertulis seperti diminta oleh parti, dengan memberikan penjelasan bagi setiap perkara dibangkitkan.
Dalam penjelasan bertulisnya, Rafizi menegaskan teguran yang pernah dibuatnya berhubung budaya “bodek” dalam parti bukanlah sesuatu yang baharu atau mengejutkan.
Sebaliknya, beliau menyatakan perkara tersebut telah lama dibangkitkan secara terbuka, termasuk dalam beberapa ucapannya di kongres parti sebelum ini, malah pernah disampaikan secara berdepan kepada kepimpinan tertinggi parti.
Beliau turut mendakwa rakaman serta kenyataannya mengenai isu tersebut telah lama berlegar dan tersebar di media sosial, menunjukkan perkara itu menjadi sebahagian daripada perbincangan terbuka dalam kalangan ahli parti dan pemerhati politik.
Menurutnya lagi, teguran tersebut sebelum ini pernah diterima secara terbuka oleh kepimpinan parti, termasuk oleh presiden parti ketika beliau belum menjawat jawatan Perdana Menteri.
Rafizi seterusnya menyatakan, teguran yang pernah dibuatnya sewajarnya dilihat dalam konteks kesetiaan dan pengorbanan jangka panjangnya terhadap kepimpinan parti, termasuk usaha mempertahankan presiden parti sebelum ini sehingga berjaya menjadi Perdana Menteri.
Justeru, beliau berpendapat teguran yang dibangkitkan itu seharusnya disambut dengan sikap terbuka dan rendah hati.
Mengulas dakwaan berhubung penglibatannya dalam satu perhimpunan, bekas Timbalan Presiden PKR itu menafikan beliau penganjur program tersebut.
Sebaliknya, beliau menjelaskan perhimpunan itu dianjurkan oleh sekumpulan aktivis muda yang memperkenalkan diri sebagai Sekretariat Tangkap Azam Baki, bukan di bawah penganjurannya atau mana-mana parti politik secara rasmi.
Beliau turut menyamakan perhimpunan tersebut dengan himpunan-himpunan sivil seperti Bersih yang dianjurkan oleh kumpulan bukan partisan, yang sering menjemput pelbagai tokoh termasuk ahli politik untuk menyampaikan pandangan.
Menurutnya, penglibatan pemimpin politik dalam program seumpama itu bukanlah sesuatu yang luar biasa, terutama dalam konteks isu tata kelola dan integriti awam.
Dalam penjelasannya juga, Rafizi menyentuh isu berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dengan menyatakan, tindakan lanjutan kontrak perkhidmatan beliau selepas bersara telah menimbulkan kritikan dalam kalangan masyarakat.
Rafizi juga merujuk kepada laporan media sebelum ini menyiarkan isu berkenaan, termasuk dakwaan dan pendedahan yang pernah tular dalam media tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, Rafizi turut mendakwa wujud serangan peribadi terhadap dirinya oleh beberapa pemimpin parti, termasuk penggunaan kata-kata kesat dan gelaran yang dianggap menghina.
Beliau menyebut serangan itu bukan sahaja berlaku di peringkat akar umbi, malah turut melibatkan ketua-ketua cabang parti yang menurutnya semakin kerap mengulangi naratif serangan terhadap dirinya.
Beliau turut mendakwa, ucapan presiden parti dalam beberapa konvensyen negeri, walaupun tidak menyebut namanya secara langsung, dilihat seolah merujuk kepada dirinya dan secara tidak langsung memberi isyarat kepada ahli parti lain untuk mengambil pendirian yang sama.
Dalam masa sama, beliau menyatakan tiada arahan jelas diberikan oleh kepimpinan parti untuk menghentikan serangan berbentuk peribadi tersebut.
Rafizi juga berpendapat persepsi dalam kalangan orang ramai bahawa serangan terhadap dirinya mendapat ruang atau tidak dibendung oleh kepimpinan parti adalah sesuatu yang munasabah, memandangkan tiada tindakan tegas diambil terhadap pihak yang membuat kenyataan berunsur penghinaan.
Dalam bahagian lain penjelasannya, Rafizi turut menyentuh beberapa dakwaan berkaitan individu tertentu yang dikaitkan dengan kepimpinan parti, termasuk nama seperti Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan.
Beliau merujuk kepada laporan media antarabangsa yang sebelum ini menyiarkan dakwaan berkaitan campur tangan dalam urusan tertentu serta dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan ahli politik berkenaan.
Rafizi turut menyatakan sehingga kini, tiada tindakan undang-undang diambil terhadap beberapa laporan media yang dirujuknya, termasuk daripada organisasi berita antarabangsa dan tempatan.
Beliau juga mempersoalkan ketiadaan tindakan siasatan rasmi atau penggantungan jawatan terhadap individu yang disebut dalam dakwaan tersebut.
Sehubungan itu, beliau berpendapat terdapat persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa individu tertentu mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi parti sehingga dianggap kebal daripada tindakan, berbeza dengan orang lain yang berdepan pertuduhan atau siasatan.
Menutup penjelasannya, Rafizi menggesa Lembaga Disiplin PKR agar membuat keputusan secara tegas dan segera tanpa melengah-lengahkan proses disiplin yang sedang berjalan.
Beliau menyatakan kesediaannya untuk menerima sebarang keputusan yang dibuat, termasuk sekiranya tindakan pemecatan dikenakan terhadap dirinya sekiranya didapati melanggar perlembagaan parti.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta memohon maaf zahir dan batin kepada semua pihak, khususnya kakitangan ibu pejabat parti yang pernah berkhidmat dengannya sejak beliau menjawat jawatan Setiausaha Agung parti lebih sedekad lalu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L