TEHRAN – Pihak berkuasa Iran membuat persiapan awal untuk mengadakan upacara pengebumian besar-besaran bekas Pemimpin Agungnya, Ayatollah Ali Khamenei, menurut media rasmi semalam.
Langkah itu diambil susulan penangguhan yang lama berikutan konflik membabitkan republik Islam itu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Walaupun tarikh pelaksanaan belum dimuktamadkan, sebuah ibu pejabat khas ditubuhkan bagi menyelaras persiapan majlis pengebumian itu.
Menurut laporan, pelbagai agensi kini merancang dan mengatur pelaksanaan upacara berkenaan.
Media rasmi memetik kenyataan Ketua Majlis Penyelarasan Tehran untuk Propaganda Islam, Mohsen Mahmoudi menerusi siaran stesen televisyen (TV) kerajaan.
Khamenei yang memimpin republik Islam itu selama lebih tiga dekad dilaporkan terbunuh dalam gelombang pertama serangan AS-Israel yang mencetuskan konflik pada 28 Februari lalu.
Anak lelakinya, Mojtaba yang juga dilaporkan sebagai penggantinya turut cedera dalam serangan berkenaan dan tidak kelihatan di khalayak umum sejak memegang jawatan itu.
Satu majlis penghormatan bagi memperingati Khamenei pernah diadakan pada April lalu, namun upacara pengebumian negara yang diumumkan pada peringkat awal sebelum ini tidak dapat dilaksanakan berikutan perang.
Stesen televisyen kerajaan yang memetik kenyataan Mahmoudi, melaporkan bahawa pelbagai organisasi sedang bekerjasama bagi menyediakan semua keperluan yang diperlukan.
Langkah itu bertujuan memastikan upacara pengebumian secara besar-besaran dapat dilaksanakan sebaik sahaja ia diumumkan secara rasmi kelak.
Mahmoudi turut menambah bahawa kehadiran orang ramai dalam jumlah yang sangat besar dijangka memenuhi ruang upacara berkenaan.
Walaupun perjanjian gencatan senjata sebahagiannya dipatuhi sejak berkuat kuasa pada April lalu, usaha untuk menamatkan konflik secara muktamad masih belum mencapai penyelesaian.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L