PETALING JAYA – Tindakan beberapa pihak yang cuba mempolitikkan usaha pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya, termasuk MCA melalui Pengerusi MCA Selangor, Datuk Lawrence Low, yang mempersoalkan kelewatan projek tersebut adalah tidak wajar.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Petaling Jaya telah sekian lama memerlukan sebuah hospital awam bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat serta mengurangkan tekanan terhadap hospital awam sedia ada di kawasan sekitar seperti Klang dan Shah Alam.
Katanya, sementara menunggu projek Hospital Awam Petaling Jaya direalisasikan, kerajaan wajar mempertimbangkan langkah sementara yang lebih segera bagi memudahkan rakyat mendapatkan akses kepada rawatan kesihatan awam.
Dalam konteks ini, jelas beliau, cadangan Galen Centre for Health and Social Policy supaya sebuah hospital swasta bersaiz sederhana yang sedia ada di Petaling Jaya disewa dan diambil alih operasinya sebagai hospital awam untuk tempoh tertentu wajar diberi pertimbangan serius.
“Pendekatan ini selari dengan konsep kerjasama awam-swasta (public-private partnership) yang telah dipelopori oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menerusi Hospital Outsourcing Programme (HSOP) sejak tahun 2023.
“Program ini membolehkan perkhidmatan kesihatan tertentu seperti radiologi dan kardiologi diperoleh daripada hospital swasta bagi mengurangkan beban sistem kesihatan awam.
“Dalam konteks Petaling Jaya yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan permintaan kesihatan yang besar, pendekatan yang lebih menyeluruh boleh dipertimbangkan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Muhammad Faiz, langkah pengambilalihan sementara hospital swasta berpotensi menjadi penyelesaian praktikal bagi mengurangkan kesesakan di hospital awam sekitar Lembah Klang, di samping membolehkan penduduk Petaling Jaya mendapatkan rawatan lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.
Pendekatan ini juga, kata beliau, sejajar dengan prinsip keadilan sosial yang menekankan akses kesihatan saksama untuk semua rakyat.
“Hakikatnya, cadangan pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya bukanlah agenda baharu. Keperluan tersebut telah lama menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan di Selangor. Malah, Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 yang diwartakan pada tahun 2011 telah mengambil kira keperluan pembinaan sebuah hospital awam di bandar tersebut.
“Namun, semua pihak perlu memahami pembinaan hospital awam bukan hanya bergantung kepada kerajaan negeri semata-mata. Ia memerlukan komitmen serta kerjasama Kerajaan Persekutuan, khususnya dari segi kelulusan, peruntukan kewangan, perancangan teknikal dan pelaksanaan projek.
“Ketika cadangan ini mula dirancang pada tahun 2011, Kerajaan Persekutuan masih berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Oleh itu, isu kesihatan rakyat tidak sepatutnya dijadikan modal politik,” ujarnya.
Beliau berkata, hanya selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Persekutuan pada tahun 2018, usaha mengenal pasti tapak yang sesuai untuk Hospital Awam Petaling Jaya dapat digerakkan dengan lebih serius.
“Malangnya, usaha tersebut tergendala berikutan kejatuhan kerajaan PH melalui ‘Langkah Sheraton’, selain cabaran besar yang dibawa oleh pandemik Covid-19.
“Namun, peluang untuk membangunkan hospital ini pada kos lebih munasabah telah terlepas akibat kegagalan kerajaan terdahulu membuat keputusan yang tepat pada waktunya. Kini, dengan peningkatan mendadak nilai tanah di Petaling Jaya, kerajaan perlu bertindak lebih teliti, strategik dan berhemah dalam menentukan tapak yang paling sesuai,” katanya.
Katanya lagi, kos pengambilalihan tanah terlalu tinggi boleh menjejaskan keupayaan kerajaan menyediakan peruntukan bagi keperluan lain yang tidak kurang pentingnya seperti peralatan perubatan, kemudahan pesakit, tenaga kerja dan kelengkapan operasi hospital.
Oleh itu, pemilihan lokasi perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk akses pengangkutan, kesesuaian kawasan, keperluan penduduk serta kewajaran kos.
Justeru, komitmen Menteri Kesihatan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam menggerakkan semula usaha merealisasikan Hospital Awam Petaling Jaya, termasuk laporan Taman Medan sedang dinilai sebagai antara lokasi berpotensi, harus dinilai secara adil dan objektif.
Secara praktikalnya, kawasan seperti Taman Medan yang mempunyai jumlah penduduk Melayu dan kelompok B40 yang besar akan memperoleh manfaat langsung melalui akses lebih dekat kepada kemudahan hospital awam.
Pada masa sama, keseluruhan penduduk Petaling Jaya turut mendapat manfaat daripada peningkatan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam di kawasan tersebut.
“Rakyat sewajarnya menolak politik sempit yang cuba memanipulasi isu ini. Pembinaan hospital awam bukan soal siapa yang mendapat keuntungan politik, tetapi soal nyawa, kesihatan dan kebajikan rakyat.
“Oleh itu, usaha Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri Selangor untuk merealisasikan Hospital Awam Petaling Jaya wajar mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira latar belakang politik,” kata Muhammad Faiz.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L