CYBERJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menambah lapan anggota ke lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, bagi membolehkan penggiliran pasukan penyelamat dilaksanakan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, operasi yang memasuki hari ketujuh itu masih diteruskan dengan penglibatan kira-kira 50 anggota daripada pelbagai agensi.
Beliau berkata, anggota tambahan dihantar ke puncak gunung pagi tadi bagi memastikan operasi pencarian dapat dijalankan secara berterusan.
“Kita masih meneruskan operasi sejak 24 Mei lalu. Hari ini kita hantar lagi lapan anggota ke puncak bagi membolehkan penggiliran pasukan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Qurban Kasih JBPM 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan pengalaman operasi terdahulu serta keadaan muka bumi di kawasan gunung, pihaknya belum bercadang untuk menghentikan operasi pencarian.
“Gunung mempunyai cabaran dan keadaan yang berbeza berbanding operasi di laut. Buat masa ini kita tidak mengambil keputusan untuk menghentikan operasi dan pencarian masih diteruskan,” katanya.
Nor Hisham berkata, pasukan penyelamat terus memberi tumpuan kepada beberapa kawasan yang dikenal pasti selain menggunakan kepakaran dan pengalaman anggota di lapangan bagi mengesan mangsa.
Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) pada 23 Mei lalu.
Kumpulan berkenaan memulakan pendakian pada jam 2 pagi melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Menurut laporan, Jaslinda dan seorang lagi pendaki mengalami masalah kesihatan ketika pendakian. Bagaimanapun, beliau dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat oleh MGP pada kira-kira jam 7.30 pagi, 24 Mei.
Operasi SAR yang memasuki fasa kritikal itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat bagi menjejaki lokasi mangsa di kawasan pergunungan berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L