KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil mengingatkan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Mohd Akmal Salleh agar tidak terpengaruh dengan naratif pembangkang berhubung isu harga minyak tempatan.
Beliau berkata, kenyataan beberapa pemimpin politik termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda PAS, Fadhli Shaari yang didakwa mengelirukan rakyat mengenai harga bahan api adalah tidak tepat dan tidak mengambil kira mekanisme sebenar penetapan harga di Malaysia.
Menurut beliau, dakwaan harga minyak di Malaysia tidak menurun seperti di negara lain tidak berasas kerana harga runcit tempatan ditentukan berdasarkan purata harga minggu sebelumnya.
“Ini bermakna sebarang penurunan harga minyak dunia hanya akan dapat dilihat pada minggu berikutnya. Walaupun terdapat sedikit sela masa, rakyat tetap menikmati manfaat daripada trend penurunan harga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Mekanisme Harga Automatik (APM) yang diguna pakai kerajaan berfungsi melindungi pengguna serta pengusaha stesen minyak daripada turun naik harga yang mendadak.
Mengulas perbandingan dengan Thailand yang menurunkan harga petrol dan diesel baru-baru ini, beliau berkata langkah itu dibuat selepas kerajaan negara tersebut menyemak semula formula harga terdahulu yang didapati mungkin lebih tinggi daripada kos sebenar, termasuk melibatkan caj pengangkutan dan insurans.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Dr. Mohd Akmal sebagai pemimpin dalam parti yang berada dalam kerajaan sepatutnya mempertahankan dasar Kerajaan Madani dan tidak mengulangi naratif yang dibawa pembangkang.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz turut menegur kenyataan Abdul Hadi yang mempersoalkan harga diesel lebih rendah di Sabah dan Sarawak, dengan menyifatkan ia tidak mengambil kira faktor geoekonomi di Malaysia Timur.
Katanya, penggunaan diesel di Sabah dan Sarawak adalah satu keperluan berikutan keadaan geografi yang luas serta kekangan infrastruktur, justeru subsidi diesel amat penting bagi mengelakkan peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata, kerajaan terus mengekalkan subsidi diesel kepada golongan penting seperti nelayan pada harga RM1.65 seliter dengan kuota 70 juta liter sebulan, selain pelaksanaan bantuan bersasar melalui inisiatif BUDI.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan keyakinan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited mengekalkan disiplin fiskal sambil terus melindungi kebajikan rakyat.
“Sejak tercetusnya krisis Asia Barat, kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga diesel, malah terus menyerap sebahagian kos pasaran selama beberapa minggu. Ini membolehkan harga bahan api di Malaysia kekal lebih rendah berbanding negara serantau,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L