Isu SPHM di Melaka: Status Lesen Perniagaan Kekal, Tiada Pelanggaran Dikesan

Olahan Fatin Sajidah Fathuldin

MELAKA – Kerajaan Melaka menegaskan tiada keperluan untuk menarik balik lesen perniagaan melibatkan dua syarikat pengeluar makanan dan minuman susulan kontroversi berkaitan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, isu itu timbul selepas dakwaan penggunaan berus yang dipercayai diperbuat dari bulu babi dalam proses pembersihan peralatan, namun siasatan setakat ini mendapati kedua-dua syarikat masih mematuhi syarat ditetapkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Katanya, tiada pelanggaran syarat lesen perniagaan dikesan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan pada masa sama, tindakan berkaitan ketidakpatuhan terhadap prosedur SPHM telah pun diambil oleh Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia selaku badan yang bertanggungjawab dalam pensijilan halal negara.

“Setakat ini, MBMB tidak menerima sebarang laporan atau aduan berkaitan pelanggaran syarat lesen perniagaan melibatkan kedua-dua syarikat itu.

“Bagaimanapun, sebagai umat Islam, kami melahirkan rasa dukacita dengan insiden yang berlaku dan berharap ia tidak berlaku di mana-mana premis perniagaan lain,” ujarnya selepas Majlis Santuni Kasih Aidilfitri sempena Sambutan Ulang Tahun ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah di sini malam tadi.

Turut Hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa kedua-dua syarikat pengeluar kopi dan biskut di negeri itu ditarik balik SPHM selepas pemeriksaan mendapati keraguan dalam peralatan pembersihan yang digunakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Rais memaklumkan bahawa keempat-empat PBT di Melaka kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi memastikan produk pelancongan di kawasan masing-masing sentiasa bersih dan ceria.

Langkah itu selaras dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0) yang sedang berlangsung tahun ini.

Menurut beliau, kerja-kerja menaik taraf kemudahan termasuk aspek pencahayaan dan fasiliti sokongan terus dipergiat bagi menjamin keselesaan serta keselamatan pengunjung yang berkunjung ke negeri bersejarah ini.

Terdahulu, seramai 250 penerima daripada golongan kurang berkemampuan membabitkan 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran MBMB menerima sumbangan peralatan elektrik dan barangan keperluan harian.

Sumbangan tersebut disempurnakan oleh Rais melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Intrinseque Health (Malaysia) Sdn Bhd.

Beliau menyifatkan sumbangan tersebut sebagai sokongan bermakna terhadap usaha kerajaan negeri dalam mensejahterakan rakyat melalui kolaborasi strategik antara agensi kerajaan dan sektor swasta, selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *