Olahan Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA TERENGGANU — Seorang pesara guru wanita mengalami kerugian besar sebanyak RM165,900 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket panggilan telefon atau “phone scam”, dalam satu kejadian yang dilaporkan berlaku pada 23 November lalu.
Mangsa berusia 64 tahun dipercayai diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa, termasuk polis dan pendakwa raya, yang menggunakan taktik ugutan dengan mendakwa beliau terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor berkata, suspek menggunakan tekanan psikologi dan ancaman tindakan undang-undang bagi menakutkan mangsa, sekali gus memaksa beliau untuk mematuhi arahan yang diberikan tanpa membuat semakan lanjut.
“Suspek mengarahkan mangsa membuat pinjaman pribadi berjumlah RM130,000 untuk membayar kos penyelesaian kes berkenaan.
“Suspek mengugut keselamatan anak-anak mangsa berada dalam bahaya sekiranya dia tidak mengikut arahan yang diberi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Azli, mangsa telah membuat tiga kali bayaran berjumlah RM36,000 ke tiga akaun berbeza seperti diarahkan suspek.
Bagaimanapun, katanya, mangsa mendapati terdapat tiga pindahan wang berjumlah RM129,900 dari akaun mangsa ke tiga akaun tidak dikenali dalam tempoh 30 Disember 2025 hingga 15 Mac lalu tanpa kebenaran.
“Mangsa mengesyaki suspek telah mendaftar, mengaktif dan mengakses perbankan secara talian menggunakan nama mangsa tanpa kebenaran.
“Mangsa membuat laporan polis jam 1.21 tengah hari semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L