Olahan Fatin Sajidah Fathuldin
SHAH ALAM – Dalam usaha membawa industri seramik tempatan naik satu tahap, Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini mengorak langkah dengan meninjau sendiri kepakaran dan teknologi pembuatan seramik di Jepun.
Lawatan rasmi yang diketuai Naib Canselor, Shahrin Sahib bermula 1 April itu berlangsung selama empat hari, melibatkan kunjungan ke tiga wilayah yang cukup terkenal dalam dunia seramik iaitu Tajimi, Seto dan Tokoname.
Program penanda aras adalah bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang warisan budaya, pendidikan tinggi, dan industri kreatif antara Malaysia dan negara matahari terbit itu.
Selain itu, ia bermatlamat untuk mengasimilasikan formula kejayaan Jepun dalam menggabungkan ketelitian kraf tangan tradisional dengan kecanggihan inovasi industri ke dalam acuan tempatan.
UITM juga memperkukuh kerjasama strategik teknologi seramik bersama institusi elit Jepun bagi penubuhan Hab Seramik Tengku Permaisuri Selangor (TPS) menerusi intergasi inovasi moden serta pemerkasaan diplomasi akademik antara dua negara.
Projek berimpak tinggi ini turut mendapat perhatian istimewa apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan berangkat menyaksikan sendiri potensi kolaborasi tersebut.
Menurut Dr. Shahrin, pendedahan terhadap ekosistem seramik Jepun yang sistematik adalah kunci untuk UiTM melahirkan bakat yang bukan sekadar mahir berseni, tetapi juga kompeten dalam pengeluaran industri.
“Kita menghargai ilmu bagaimana Jepun mengekalkan ekosistem seramik terkemuka dalam acuan moden terutama bidang kecemerlangan teknikal, inovasi reka bentuk dan kerjasama institut serta pelaburan jangka panjang bagi memacu diplomasi budaya antara Malaysia dan Jepun,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan padu rakan strategik di Jepun dan mengulangi komitmen UiTM dalam memperkasakan jalinan penyelidikan serta hubungan diplomatik berasaskan budaya dan akademik Malaysia-Jepun. – BERNAMA
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar USIM yang sedang menjalani latihan industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L