Olahan Fatin Sajidah Fathuldin
GEORGE TOWN – Aksi berani sebuah kumpulan penjenayah yang dipercayai terlibat dalam rompakan emas bernilai jutaan ringgit akhirnya terhenti apabila polis Pulau Pinang menahan sembilan suspek dalam satu operasi khas.
Menerusi Op Jingga D Garden, serbuan yang digerakkan sejak 26 Mac itu dilaksanakan oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, sebelum operasi berkenaan ditamatkan semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan sembilan yang ditahan melibatkan tujuh lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia, berusia antara 23 hingga 43 tahun.
Serbuan tertumpu sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut, dengan polis merampas pelbagai barangan termasuk 4.3 kilogram barang kemas, sebilah parang, dua kenderaan serta empat tayar bersama rim sukan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah, seolah cukup lengkap untuk satu operasi yang terancang.
Menurut beliau, kumpulan ini menyasarkan jurujual yang membawa barang kemas bagi tujuan penghantaran atau urusan transaksi di kedai emas sekitar negeri, menjadikan mangsa mereka bukan dipilih secara rawak, tetapi berdasarkan peluang dan kelemahan situasi.
“Tangkapan ini dipercayai telah menyelesaikan kes samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku pada 25 Mac lalu di Seberang Perai Utara, melibatkan kerugian barangan kemas seberat 6,023.69 gram.” ujar beliau.
Tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk seorang dengan 17 rekod, manakala tiga lagi positif metamfetamin.
Kesemua mereka direman di bawah Seksyen 395, 397, dan 109 Kanun Keseksaan sementara polis memburu baki ahli kumpulan yang masih bebas.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar USIM yang sedang menjalani latihan industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L