Untung SSF Home lonjak lebih 110 peratus pada suku ketiga

KUALA LUMPUR – Peruncit perabot, hiasan rumah dan produk kediaman, SSF Home Group Bhd mencatatkan peningkatan ketara keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak kira-kira 110.8 peratus bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2026.

Pencapaian itu menyaksikan PAT meningkat kepada RM1.62 juta berbanding RM0.77 juta pada suku sama tahun sebelumnya. Pada masa sama, keuntungan sebelum cukai (PBT) turut melonjak 104.0 peratus kepada RM2.16 juta berbanding RM1.06 juta.

Prestasi kukuh ini didorong peningkatan jualan serta leveraj operasi yang lebih baik. Hasil bagi suku berkenaan naik 9.2 peratus tahun ke tahun kepada RM43.08 juta, disokong keberkesanan inisiatif pemasaran sasaran dan penglibatan pelanggan.

Momentum jualan turut diperkukuh oleh musim perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina yang meningkatkan kunjungan pelanggan serta kadar penukaran jualan di rangkaian runcit syarikat.

Pengarah Eksekutifnya, Lok Kok Khong berkata pertumbuhan itu mencerminkan kekuatan strategi pemasaran dan penawaran produk syarikat.

“Jualan perayaan yang lebih kukuh dan tindak balas positif terhadap kempen sasaran kami mencerminkan kerelevanan penawaran berasaskan nilai dan inisiatif penglibatan pelanggan kami,” katanya.

“Kami kekal fokus untuk mengukuhkan kedudukan runcit melalui pelaksanaan berdisiplin, penetapan harga strategik dan peningkatan berterusan pengalaman membeli-belah,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Januari 2026, SSF mencatatkan hasil RM109.08 juta, meningkat 7.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. PBT kumulatif naik kepada RM3.05 juta manakala PAT melonjak kepada RM2.29 juta berbanding RM0.03 juta sebelum ini.

Ke hadapan, syarikat kekal optimis namun berhati-hati berdepan cabaran seperti peningkatan kos logistik dan pengeluaran, tekanan inflasi serta ketidaktentuan geopolitik.

SSF merancang memperkukuh cadangan nilai menerusi penetapan harga strategik, inovasi produk, pengenalan format kedai baharu serta peluasan ke pusat bandar utama bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *