Cadangan Hukuman Sebat ke atas Pemandu Mabuk Selepas Kes Kematian

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan agar hukuman sebat diperkenalkan sebagai tambahan kepada hukuman sedia ada terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, susulan satu lagi kes kemalangan maut semalam.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang terkorban dalam kejadian tersebut, dipercayai melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, selain kehilangan nyawa, insiden seumpama ini turut memberi beban besar kepada keluarga mangsa.

Sehubungan itu, Amanah mencadangkan agar satu mekanisme baharu diwujudkan bagi memastikan pampasan setimpal dapat disalurkan segera oleh pesalah atau keluarganya, selain tuntutan insurans sedia ada.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar tindakan lebih tegas diambil terhadap pemandu didapati memandu di bawah pengaruh alkohol, termasuk pembatalan lesen memandu serta-merta.

Cadangan ini memerlukan pindaan kepada Seksyen 45A di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Amanah berpandangan walaupun pindaan terdahulu telah memperketatkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun bagi kesalahan pertama dan 15 hingga 20 tahun bagi kesalahan berulang di bawah Seksyen 44(1), langkah tersebut belum mencukupi untuk membendung kesalahan berkenaan.

“Kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk masih berlaku dan menunjukkan perlunya pendekatan lebih tegas bagi tujuan pencegahan,” katanya.

Sehubungan itu, Amanah mencadangkan agar hukuman sebat ditambah sebagai hukuman tambahan, setaraf dengan kesalahan jenayah serius seperti rogol, rompakan dan kes berkaitan dadah.

Selain aspek hukuman, parti itu turut menekankan keperluan pendekatan pencegahan lebih menyeluruh, termasuk kawalan lebih ketat terhadap penjualan minuman beralkohol.

Ini meliputi penetapan kategori pembeli, pengawalan premis jualan serta larangan penjualan atau penyediaan minuman alkohol kepada individu yang memandu sendiri.

Menurutnya, premis yang gagal mematuhi garis panduan tersebut juga wajar dikenakan tindakan sebagai langkah memastikan tanggungjawab bersama dalam mencegah kejadian seumpama ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan hari ini, sebagai respons kepada peningkatan kebimbangan awam terhadap kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk di negara ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *