Oleh: Nik Saiful Adli Burhan

TRAGEDI kemalangan maut di Klang, Selangor yang meragut nyawa Allahyarham Amirul Hafiz Omar akibat tindakan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah adalah satu nota duka yang amat mendalam bagi negara.
Sebagai pengamal undang-undang, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Namun, dalam mendepani kemarahan awam, kita harus meneliti isu ini melalui kacamata perundangan yang objektif dan rasional.
Terdapat desakan agar hukuman mati atau penjara seumur hidup dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Menjatuhkan hukuman mati tidaklah semudah itu. Semata-mata kerana ada kematian bukanlah bermaksud bunuh mengikut tafsiran undang-undang.
Secara prinsipnya, hukuman sedia ada di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara 10 tahun sudah memadai dan bersifat substantif.
Dalam falsafah perundangan jenayah, terdapat satu tahap optimum di mana hukuman berfungsi sebagai seksaan (punishment) kepada pelaku. Namun, menaikkan hukuman sehingga ke peringkat ekstrem adalah satu tindakan “overkill” yang tidak menjamin keberkesanan dari sudut pencegahan (prevention).
Undang-undang seharusnya digubal untuk mendidik masyarakat dan mengekang jenayah daripada berulang, bukannya sekadar instrumen untuk memuaskan nafsu amarah atau membalas dendam semata-mata.
Sejarah membuktikan hukuman berat yang tidak disertai dengan reformasi punca masalah gagal menoktahkan kitaran jenayah tersebut.
Sebagaimana analogi perubatan, “mencegah adalah lebih baik daripada merawat.” Menghukum pesalah selepas nyawa melayang hanyalah satu tindakan reaktif. Kita perlu bersifat proaktif dengan melihat punca utama masalah ini iaitu aksesibiliti dan pengambilan minuman keras.
Saya berpandangan sudah tiba masanya kerajaan memulakan perbincangan serius mengenai pengharaman arak secara total atau sekurang-kurangnya mengetatkan kawalan penjualan secara drastik.
Tiada manfaat signifikan minuman keras melainkan ia membawa bencana sosial, bukan sahaja dalam perspektif Islam, malah diakui oleh pelbagai agama dan budaya sebagai punca keruntuhan moral dan keselamatan.
Kita boleh mengambil iktibar daripada kejayaan kerajaan dalam mendidik masyarakat menjauhi rokok melalui pengehadan zon merokok yang ketat, sekatan drastik terhadap kaedah jualan dan promosi dan normalisasi gaya hidup tanpa rokok.
Jika model kawalan ketat ini diimplementasikan terhadap minuman keras, baik dari segi keterbukaan jualan mahupun lokasi pengambilan, kita secara langsung akan menghapuskan kewujudan individu mabuk di ruang awam.
Apabila tiada pemabuk, maka risiko pemanduan di bawah pengaruh alkohol akan terhapus dengan sendirinya.
Hukuman berat semata-mata adalah tuntutan emosi yang tidak akan mengakhiri tragedi. Kita tidak memerlukan pemabuk, sama ada di atas jalan raya mahupun di luar jalan raya.
Saya menggesa kerajaan agar lebih berani mengekang terus penjualan dan peredaran arak demi keselamatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Fokus kita haruslah kepada keselamatan nyawa rakyat, melebihi kepentingan ekonomi atau kebebasan peribadi yang membawa mudarat umum.
Nik Saiful Adli Burhan adalah Peguam Jenayah yang juga Pengerusi, Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L