Oleh: Siti Khadijah, Fatin Sajidah dan Nur Farhana

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam kejadian terbaru melibatkan pemandu mabuk yang mengorbankan nyawa orang awam, sambil menyifatkannya sebagai “pembunuhan jalanan”.
Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, insiden seumpama itu tidak lagi boleh dianggap sebagai kemalangan biasa, sebaliknya satu jenayah berat yang perlu ditangani secara serius.
Menurut beliau, individu yang memandu dalam keadaan mabuk telah secara sedar mempertaruhkan nyawa orang lain di jalan raya.
“Sebarang hukuman ringan terhadap pesalah adalah satu penghinaan kepada mangsa dan keluarga mereka, selain menunjukkan kegagalan sistem keadilan dalam melindungi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, PERKASA menuntut agar hukuman maksimum tanpa kompromi dikenakan ke atas pelaku, termasuk penjara mandatori yang panjang serta larangan memandu seumur hidup.
Selain itu, pertubuhan berkenaan turut menggesa pindaan undang-undang segera bagi mengklasifikasikan kes kematian akibat pemanduan mabuk sebagai jenayah berat.
PERKASA juga menekankan keperluan penguatkuasaan lebih agresif oleh pihak berkuasa, termasuk pelaksanaan sekatan jalan raya secara besar-besaran tanpa notis.
Dalam pada itu, mereka turut mencadangkan supaya tanggungjawab moral dan undang-undang dikenakan terhadap premis yang menyumbang kepada kejadian, jika terbukti berlaku kecuaian.
Azrol berkata, kes melibatkan pemandu mabuk dilihat semakin berulang dan kegagalan mengambil tindakan tegas boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
“Nyawa rakyat tidak boleh terus menjadi korban kepada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak. Tindakan drastik perlu dilaksanakan, bukan sekadar retorik,” katanya.
Beliau menegaskan, PERKASA akan terus berdiri bersama keluarga mangsa dan menuntut keadilan ditegakkan tanpa pilih kasih.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L