Mangsa Dakwa Jadi Kambing Hitam Dalam Skandal ‘Mafia Korporat’ NexG Bhd

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long, mendakwa beliau menjadi mangsa dan kambing hitam dalam satu skandal yang dikaitkan dengan “Mafia Korporat” melibatkan syarikat teknologi berasaskan keselamatan, NexG Bhd.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau mendakwa polis melalui Pasukan Petugas Khas Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman telah digunakan sebagai alat oleh kumpulan tertentu untuk merampas kawalan syarikat berkenaan.

Menurut beliau, kepimpinan terdahulu dan semasa NexG Bhd mengetahui identiti sebenar pihak yang didakwa sebagai “Mafia Korporat” dalam kes tersebut.

Beliau turut merayu agar Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengambil tindakan segera bagi mendedahkan pihak sebenar yang terlibat.

Victor berkata, berdasarkan kronologi yang didedahkan kepada umum, usaha kumpulan berkenaan bermula pada Oktober 2025 selepas NexG Bhd memperoleh kontrak kerajaan bernilai kira-kira RM2.46 bilion.

Katanya, sebelum ini beliau telah dijemput oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanifah Noordin untuk membantu mempelbagaikan dan mengukuhkan kedudukan syarikat.

“Kami merancang hala tuju strategik baharu agar NexG tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kontrak pasport dan MyKad kerajaan, sebaliknya berkembang secara lebih pelbagai termasuk ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa perancangan tersebut terganggu apabila kumpulan yang didakwa sebagai “Mafia Korporat” bertindak menyerbu syarikat pada Oktober 2025, sekali gus menjejaskan harga saham serta pelaburan berkaitan.

Menurutnya lagi, usaha kumpulan itu dipercayai gagal pada awal Mac 2026 susulan kemasukan pemegang saham utama baharu yang membantu mengembalikan kawalan syarikat kepada pihak pengurusan.

“Secara tiba-tiba, kumpulan tersebut berundur bersama tujuh pengarah proksi mereka,” katanya.

Victor turut mempersoalkan tindakan PDRM yang didakwa tidak selari dengan pendedahan yang dibuat oleh Pengerusi NexG berhubung kejadian antara Oktober 2025 hingga Mac 2026.

“Walaupun nama-nama dan kronologi telah didedahkan, tindakan yang diambil adalah menyerbu rumah saya,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa beliau tidak menuduh PDRM atau mana-mana agensi penguatkuasaan terlibat secara langsung, sebaliknya menyuarakan kebimbangan bahawa mungkin terdapat individu tertentu yang mempengaruhi tindakan pihak berkuasa.

Beliau juga mempersoalkan sama ada siasatan telah dijalankan terhadap dua individu yang dikenali sebagai “Mr. A” dan “Mr. X”, yang didakwa disebut dalam laporan media berkaitan kes tersebut.

Dalam masa sama, Victor mengakui bahawa terdapat pihak yang memilih untuk meletakkan kesalahan ke atas dirinya kerana faktor keselamatan dan tekanan.

Namun, beliau menyeru agar individu yang mempunyai maklumat tampil ke hadapan.

“Berdiam diri adalah seolah-olah bersubahat,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *