Advancecon pulih, catat untung setahun penuh RM6.7 juta

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam, Advancecon Holdings Bhd melakar pemulihan korporat apabila berjaya menamatkan kemarau kerugian dengan mencatatkan keuntungan yang diagihkan kepada pemilik sebanyak RM6.7 juta bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2025 (TK2025).

Ini menandakan pusing ganti yang sangat bermakna memandangkan syarikat berkenaan merekodkan kerugian sebanyak RM22.7 juta pada tahun sebelumnya.

Advancecon Holdings dalam satu kenyataan berkata, pencapaian memberangsangkan ini disokong oleh peningkatan hasil tahunan sebanyak 10.4 peratus kepada RM423.1 juta, berbanding RM383.2 juta yang dicatatkan pada TK2024.

Lebih membanggakan, syarikat ini berjaya mengekalkan rekod keuntungan untuk empat suku tahun berturut-turut, membuktikan keberkesanan langkah penambahbaikan operasi, usaha pengoptimuman kos, dan disiplin pengurusan projek mereka.

Pada suku keempat (S4 TK2025) sahaja, kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM3.1 juta berbanding kerugian RM3.6 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, disokong oleh pendapatan sebanyak RM105.6 juta.

Mengesahkan kelangsungan jangka panjang, buku pesanan tertunggak Advancecon turut mempamerkan prestasi cemerlang, melonjak kepada kira-kira RM756 juta setakat 31 Disember 2025, berbanding RM673 juta pada tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Advancecon Holdings Bhd, Phum Boon Eng berkata dalam kenyataannya: “Kami berasa terdorong dengan kembalinya Kumpulan kepada keuntungan sepanjang tahun dan konsistensi yang dicapai sejak empat suku tahun lalu.

Pencapaian penting ini bukan sahaja menandakan pemulihan, tetapi juga permulaan fasa pertumbuhan Advancecon yang seterusnya, serta usaha kolektif pasukan kami dalam memperkukuhkan pelaksanaan, meningkatkan kecekapan dan mengekalkan disiplin dalam penyampaian projek.”

Peningkatan buku pesanan ini disumbangkan oleh siri kemenangan kontrak baharu yang kukuh berjumlah kira-kira RM229.5 juta yang diperoleh sejak enam bulan lalu.

Dengan buku pesanan yang diperkukuh ini, Advancecon mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh sekurang-kurangnya sehingga TK2027 melalui penyertaan aktif dalam projek infrastruktur dan pembangunan perbandaran.

Selain segmen Perkhidmatan Pembinaan dan Sokongan yang menjadi penyumbang teras, operasi kumpulan turut disokong oleh segmen tenaga boleh diperbaharui yang kini giat mengendalikan aset solar, termasuk ladang solar berskala besar 37.7MWp di Kuala Langat.

Syarikat juga terlibat dalam pembangunan bersama Taman Teknologi Silver Valley (SVTP) di Perak, sebuah projek berpotensi besar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar RM1.0 bilion.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *