NIBONG TEBAL – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sisa plastik dan elektronik (e-waste) bernilai lebih RM3.37 juta yang diproses secara haram selepas menyerbu sebuah premis dalam daerah Seberang Perai Selatan, di sini, pagi kelmarin.
Dalam serbuan jam 11 pagi dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pemilik premis.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata siasatan awal mendapati, suspek menjadikan premis itu lokasi pemprosesan material plastik dan penyimpanan sisa elektronik tambahan tanpa kelulusan JAS dan MPSP.
“Premis ini beroperasi sejak awal 2025 dengan mendapatkan bekalan sisa plastik daripada kilang semikonduktor di kawasan sekitar.
“Hasil pemeriksaan dijalankan ke atas premis itu menemui pelbagai sisa elektronik yang disimpan dalam beg besar dan tong drum mengandungi cecair minyak tercemar yang keseluruhannya bernilai lebih RM3.37 juta,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Balveer Singh berkata, fasiliti yang ada dalam premis itu digunakan untuk memproses bahan plastik dan bijian plastik yang sudah diproses akan dieksport ke luar negara.
“Dalam operasi ini, MBSP juga mengeluarkan satu notis pemberhentian aktiviti perkilangan dan mengenakan kompaun RM500 kepada pengurus premis.
“Kes diserahkan kepada JAS negeri dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Beliau berkata, Briged Utara PGA akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak menjalankan aktiviti pemprosesan dan penyimpanan buangan terjadual tanpa kelulusan sah kerana ia boleh mendatangkan risiko serius terhadap alam sekitar serta keselamatan awam.
“Usaha risikan dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti, membanteras dan mengekang sebarang bentuk aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya. – BERITA HARIAN
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L