KUALA LUMPUR – Beberapa saksi termasuk Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Ekonomi dijangka dipanggil dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelaksanaan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Sumber berkata, tindakan itu susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat asing berkenaan berkaitan isu ketirisan dana kerajaan membabitkan peruntukan besar iaitu RM1.1 bilion.
“Berdasarkan maklumat awal, cadangan ini dikatakan tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), namun perjanjian ini dimeterai secara tergesa-gesa,” katanya.
Sumber berkata, beberapa individu turut dikatakan diberikan jawatan tinggi dalam syarikat berkenaan selepas berhenti daripada kementerian terbabit.
“Sehubungan itu, beberapa saksi termasuk KSU kementerian dijangka dipanggil bagi mendengar penjelasan berhubung pelaksanaan perjanjian ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.
Terdahulu beberapa aduan dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perjanjian dikatakan dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kepada kerajaan.
Berdasarkan aduan dan dokumen yang diserahkan beberapa pihak, SPRM juga mendapatkan beberapa dokumen berkaitan perjanjian ini pada 13 Februari lalu daripada Kementerian Ekonomi. – BERITA HARIAN
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L