KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan isu pemilikan saham pada 19 Februari lepas, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam telah bersidang pada 19 Februari dan berdasarkan laporan awal yang diterima, jawatankuasa itu sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham berkenaan oleh Azam.
“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang diperoleh dan akan memanggil saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadap perkara itu.
“Jawatankuasa memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional,” katanya.
Shamsul Azri turut memaklumkan hasil siasatan dan syor pertimbangan bagi tindakan selanjutnya akan diangkat kepada pihak berkuasa, termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.
Media sebelum ini melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Azam bagaimanapun pada sidang media baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Bukan tindakan intimidasi
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata tindakan Azam memfailkan saman terhadap terhadap Bloomberg bukan intimidasi atau tidak menghormati kebebasan kewartawanan.
Ia adalah hak peribadi Azam sebagai individu dan saluran mahkamah pula pendekatan bertamadun dalam menyelesaikan pertikaian fakta dan reputasi.
“Prinsip ‘rule of law’ mesti dihormati oleh semua pihak, jika benar laporan itu mengandungi elemen tidak tepat, mengelirukan atau berat sebelah maka tindakan saman adalah langkah sah dan profesional untuk membolehkan mahkamah menentukan kebenaran.
“Dalam negara hukum, tuduhan tidak boleh dijadikan hukuman tanpa proses perundangan yang adil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Azam memfailkan saman terhadap terhadap Bloomberg berhubung artikel berunsur fitnah berkaitan dakwaan pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Februari lalu.
Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan itu, Azam selaku plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos.
Mengulas lanjut, Jais berkata kebebasan media datang bersama tanggungjawab kewartawanan yang tinggi termasuk kewajipan semakan fakta, pengesahan silang sumber dan pelaporan seimbang.
“Media antarabangsa tidak terkecuali daripada prinsip ini. Media harus lebih adil dan berhati-hati agar tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan untuk membentuk naratif yang belum dibuktikan.
“Pada masa sama, integriti institusi penguatkuasaan perlu dipertahankan kerana tuduhan tidak berasaskan fakta dan disensasikan boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan rakyat serta pelabur antarabangsa terhadap sistem pentadbiran negara,” jelasnya.
Menurutnya lagi, setiap individu termasuk penjawat awam berprofil tinggi berhak mempertahankan reputasi dan maruahnya melalui saluran undang-undang sekiranya merasakan diri difitnah atau dilaporkan secara tidak adil.
Dalam pada itu, beliau berkata semua pihak perlu menghormati proses perundangan dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan keadilan.
“MCW akan terus berdiri teguh mempertahankan integriti institusi dan memastikan perjuangan memerangi rasuah tidak dilemahkan oleh naratif yang belum diuji di mahkamah,” katanya. – BERITA HARIAN
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L