KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) termasuk Presiden GERAKAN, Dominic Lau tiba di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, bagi menghadiri Mesyuarat Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN), petang ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong dan Setiausaha parti itu, Wong Chia Zen.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan turut dilihat hadir.
Difahamkan beberapa pemimpin PAS termasuk presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah berada di pejabat itu sejak pagi tadi.
Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengesahkan akan hadir dan dikatakan dalam perjalanan, setakat berita ini ditulis.
Mesyuarat berkenaan menjadi tumpuan susulan jangkaan perbincangan mengenai pelantikan Pengerusi baharu PN serta kemungkinan penentuan Ketua Pembangkang baharu di Parlimen.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Timbalan Pengerusi PN, berkata PAS akan mengambil alih teraju PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin.
Menjelaskan demikian kepada pemberita, Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS perlu berusaha menyelamatkan PN kerana mentadbir negara memerlukan kerjasama semua pihak. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L