KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pencapaian ekonomi negara terus menunjukkan perkembangan positif di bawah pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun berdepan kritikan berterusan daripada pembangkang.
Menurut beliau, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 melonjak kepada 6.3 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh 12 suku berturut-turut.
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus bagi tahun 2025, mengatasi unjuran rasmi antara 4 hingga 4.8 peratus.
“Ini bukan angka kecil, tetapi bukti bahawa dasar kerajaan yang konsisten dan berfokus akhirnya memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan kadar inflasi negara kekal terkawal dengan penurunan kepada 1.4 peratus pada 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024, manakala defisit fiskal terus menunjukkan trend penurunan melebihi jangkaan.
Dalam pada itu, nilai ringgit juga menunjukkan pemulihan ketara apabila menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di Asia bagi dua tahun berturut-turut, 2024 dan 2025, dan kembali mengukuh sekitar RM3.90 pada sesetengah waktu dagangan.
Faiz berkata, keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara turut diterjemahkan melalui jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM150.8 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025, meningkat 48 peratus tahun ke tahun.
Selain itu, skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 menunjukkan peningkatan dengan Malaysia menduduki tangga ke-54, kedudukan terbaik sejak 2020. Jelasnya, pencapaian itu mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan institusi dan tadbir urus yang lebih telus.
Mengulas mengenai pembangkang, beliau mendakwa Perikatan Nasional (PN) masih berdepan konflik dalaman dan gagal menawarkan dasar alternatif yang kukuh kepada rakyat.
Menurutnya, perebutan kuasa dalam kalangan pembangkang hanya menjejaskan keupayaan mereka untuk berfungsi sebagai semak dan imbang yang berkesan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kemampuan gabungan itu untuk menjamin kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara sekiranya diberi mandat mentadbir.
Beliau menegaskan, kestabilan politik dan kesinambungan dasar adalah faktor utama yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara ketika ini, dan rakyat wajar menilai prestasi semasa berdasarkan fakta serta pencapaian yang telah direkodkan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L