Bayi 21 Hari Miliki Gigi, Curi Perhatian Penduduk

Oleh: Abdul Ghaffar Daud

PASIR MAS (KELANTAN) – Seorang bayi lelaki berusia 21 hari dari Kampung Banggol Ara, dekat sini mencuri perhatian penduduk apabila dilahirkan dengan mempunyai sebatang gigi di bahagian bawah gusi.

Bayi tersebut, Ammar Yusuf Hanif Hafizin, dilahirkan pada 25 Januari lalu di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dan kini berada dalam keadaan sihat serta sempurna.

Selepas kelahiran, ibunya, Noor Rul Assiffa Abd. Rasid, 29, pulang berpantang di kampung halaman di sini.

Beliau mengakui terkejut apabila dimaklumkan jururawat, anak sulungnya itu mempunyai sebatang gigi sejurus dilahirkan.

“Saya memang terkejut dan tidak sangka. Pada mulanya saya ingat jururawat bergurau.

“Namun, apabila melihat sendiri, memang jelas kelihatan sebatang gigi kecil di bahagian bawah gusinya. Perasaan saya bercampur-baur, tetapi paling utama saya bersyukur anak saya sihat,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, pada peringkat awal beliau bimbang keadaan tersebut akan menjejaskan proses penyusuan.

“Saya risau juga kalau gigi itu boleh mencederakan atau menyukarkan saya menyusukannya. Tetapi, doktor memaklumkan keadaan itu dikenali sebagai gigi natal dan jarang berlaku, tetapi tidak berbahaya sekiranya gigi tersebut tidak longgar.

Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik,” ujarnya.

Keadaan bayi itu kini stabil dan berada dalam pemantauan keluarga, bahkan fenomena gigi natal merupakan keadaan yang jarang berlaku dan ibu bapa dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya gigi itu longgar atau menimbulkan kesukaran ketika penyusuan.

Sementara itu, suaminya, Hanif Hafizin Rozalan berkata, beliau akan membawa anaknya mendapatkan pemeriksaan pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dalam masa terdekat atas nasihat doktor dari HSAJB.

“Insya-Allah, dalam sehari dua ini saya akan bawanya jumpa doktor pakar untuk mengetahui sama ada gigi tersebut mempunyai akar atau tidak. Sekiranya tiada akar, doktor memaklumkan ia mungkin perlu dicabut.

“Saya mahu menyegerakan pemeriksaan memandangkan minggu hadapan saya akan mula bertugas di Biocon, Gelang Patah, Johor Bahru sebagai pembuat insulin,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldailybayi

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *