PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa UMNO dan Pas mempertimbangkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, dengan menyifatkan perpecahan politik Melayu sebagai faktor yang melemahkan pengaruh komuniti itu walaupun di kawasan majoriti Melayu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, PRN Melaka wajar dijadikan medan ujian bagi membuktikan kesungguhan dua parti Melayu-Muslim terbesar negara untuk bekerjasama demi perpaduan.
Menurutnya, Pemuda UMNO secara konsisten membawa agenda penyatuan sejak awal lagi.
“Saya lebih suka UMNO-Pas, walaupun Pas tidak menang sebarang kerusi pada PRN Melaka yang lalu.
“Jika kita mahukan perpaduan Melayu, kita kena mula sekarang. Kita tak boleh hanya bercakap. Kita mesti buktikan di Melaka, walaupun UMNO perlu beri laluan kepada Pas di beberapa kerusi,” katanya dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hos, Khairy Jamaluddin yang meminta pandangannya sama ada UMNO perlu bertanding secara solo atau bekerjasama dengan parti lain pada PRN akan datang.
Akmal berpandangan, pengundi teras Melayu, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar, semakin bimbang dengan perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu yang dilihat menjejaskan kekuatan politik mereka.
Katanya, UMNO hanya boleh mengembalikan kekuatan dengan merapatkan semula hubungan dengan pengundi Melayu-Bumiputera, memandangkan undi yang hilang sebelum ini bukan beralih kepada Pakatan Harapan (PH), sebaliknya kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Menjawab persoalan, sama ada orang Melayu kini berasa terancam, beliau berkata, sentimen itu lebih ketara di luar pusat bandar.
“Mungkin orang di Kuala Lumpur tidak rasa. Anda boleh datang ke Melaka dan lihat sendiri, pergi ke kampung-kampung,” katanya.
Akmal menegaskan, seruan ke arah perpaduan Melayu bukan bertujuan merampas hak kaum lain, sebaliknya bagi memastikan orang Melayu berasa selamat dan bersatu dalam landskap politik yang semakin mencabar.
Beliau turut menolak kebimbangan kerjasama UMNO-Pas akan mengetepikan golongan bukan Melayu, sambil menegaskan kerangka Barisan Nasional (BN) yang lebih inklusif akan terus dipertahankan.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN (Bersatu) dua kerusi.
Namun, landskap politik negeri itu berubah selepas ADUN Rembia daripada UMNO, Datuk Seri Jailani Khamis berpindah ke blok pembangkang selepas dilaporkan menyertai Pas pada 2023.
Penggal lima tahun DUN Melaka dijadual berakhir Disember ini, menjadikan spekulasi mengenai bentuk kerjasama dan strategi parti-parti politik semakin hangat diperkatakan menjelang PRN yang bakal menjelang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L