Inkues Kematian Zara: Saksi Beritahu Mahkamah Aduan Kehilangan Barang Pelajar Tidak Diberi Perhatian

KOTA KINABALU – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini, beberapa aduan berkaitan kehilangan barang pelajar di asrama sebuah sekolah agama tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak pengurusan sekolah sepanjang tempoh anaknya bersekolah di institusi berkenaan.

Saksi yang merupakan ibu kepada Pelajar A berkata, aduan berhubung kehilangan barang secara meluas dalam kalangan pelajar pernah dibangkitkan melalui kumpulan aplikasi WhatsApp kelas, namun tidak menerima maklum balas atau tindakan yang memuaskan.

Menurut saksi, beliau membuat aduan pada 15 Julai 2025 selepas bertanyakan dalam kumpulan tersebut sama ada pelajar lain turut mengalami kehilangan barang, sebelum dimaklumkan bahawa kejadian itu melibatkan ramai pelajar asrama.

“Saya memaklumkan terdapat kehilangan barang secara besar-besaran dan menyatakan hasrat untuk mengumpul maklumat bagi tujuan membuat laporan kepada pihak pengetua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kementerian,” katanya ketika memberi keterangan.

Saksi berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya merangkap pegawai pengendali inkues, Mohd Fairuz Johari, berhubung tindakan yang diambil pihak sekolah susulan aduan yang dibuat.

Apabila ditanya sama ada aduan tersebut diberi perhatian serius, saksi menjawab bahawa tiada tindakan menyeluruh diambil dan maklum balas yang diterima bersifat tidak jelas.

“Jika ada maklum balas sekalipun, ia tidak menyeluruh dan seolah-olah tergantung. Selepas itu tiada perkembangan lanjut,” katanya.

Saksi turut menyatakan bahawa beliau ada bertanyakan kepada anaknya sama ada pihak sekolah mengambil langkah susulan seperti mengadakan pertemuan dengan warden atau meningkatkan rondaan di asrama, namun dimaklumkan tiada tindakan sedemikian diambil.

Dalam keterangannya, saksi memaklumkan bahawa tiga aduan berkaitan kehilangan barang milik anaknya telah dibuat sepanjang tempoh persekolahan, namun menurutnya, anaknya dipersalahkan atas alasan kecuaian.

Beliau menjelaskan kejadian pertama melibatkan lokar anaknya yang didakwa diumpil, menyebabkan kehilangan barangan peribadi seperti sabun dan pencuci muka, selain kasut yang digunakan tanpa kebenaran sehingga rosak. Dua kejadian lain melibatkan kehilangan wang tunai pada 3 dan 15 Julai 2025.

“Wang tersebut dikumpulkan anak saya sehingga berjumlah kira-kira RM300, yang merupakan pemberian neneknya untuk disimpan sebagai kenangan,” katanya, sambil menambah bahawa kad bank dan kad pengenalan anaknya tidak hilang.

Menurut saksi, maklum balas yang diterima daripada pihak warden ketika itu adalah bahawa Pelajar A dianggap cuai.

Saksi turut menyatakan pandangannya bahawa sekiranya aduan berkaitan kehilangan barang di asrama itu diberi perhatian sejak awal, kejadian yang berlaku mungkin dapat dielakkan.

Terdahulu, barisan peguam yang diketuai Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, yang mewakili Pelajar A dalam prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak, hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.

Untuk rekod, Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *