Oleh: Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR — Pengumuman hala tuju politik baharu oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi pengambilalihan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) terus mencetuskan pelbagai reaksi pro dan kontra dalam kalangan pemimpin politik, pemerhati serta penyokong parti.
Tindakan dua bekas pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilihat sesetengah pihak sebagai usaha menghidupkan semula idealisme reformasi, namun ada juga yang menyifatkannya sekadar percaturan politik untuk membina semula pengaruh selepas tewas dalam pemilihan parti.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia, Misrinah Misban berpandangan langkah Rafizi lebih menjurus kepada perebutan ruang kuasa politik berbanding menawarkan penyelesaian konkrit terhadap cabaran ekonomi dan geopolitik negara.
Menurut beliau, pendekatan membina gerakan politik baharu terlalu bergantung kepada kekuatan individu dan naratif personaliti adalah berisiko tinggi dalam landskap politik Malaysia yang kompleks dan berasaskan gabungan.
“Politik Malaysia dibina atas keseimbangan kuasa, rundingan antara parti, perkongsian pengaruh wilayah dan pengurusan sensitiviti kaum serta agama.
“Sebab itu hampir semua kerajaan yang berjaya bertahan lama dibentuk melalui gabungan besar dan bukannya kekuatan individu semata-mata,” katanya.
Beliau turut menyifatkan naratif bahawa semua parti sedia ada telah gagal dan hanya platform baharu mampu membawa perubahan berisiko melahirkan budaya politik individualistik yang terlalu berpusat kepada tokoh tertentu.
Menurutnya lagi, sejarah juga membuktikan parti serpihan sukar bertahan lama termasuk Parti Semangat 46 (S46) yang pernah dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah walaupun memiliki sokongan tokoh lebih besar dan jaringan politik lebih luas ketika itu.
“Jika sebuah gerakan sebesar S46 pun akhirnya tidak mampu bertahan lama, maka sukar untuk melihat bagaimana gerakan baharu Rafizi yang jauh lebih kecil mampu mencipta impak politik nasional yang besar,” katanya lagi.
Bagaimanapun, ada juga pihak yang mempertahankan tindakan Rafizi dan Nik Nazmi serta melihat langkah itu sebagai keputusan berprinsip.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan menjelaskan kehadirannya pada program pengumuman hala tuju politik Rafizi dan Nik Nazmi Ahad lalu adalah atas dasar memenuhi jemputan sahabat seperjuangan.
Beliau berkata, beliau menghormati keputusan kedua-dua pemimpin itu untuk mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing serta keluar daripada PKR.
“Saya yakin keputusan yang mereka ambil adalah hasil pertimbangan yang menyeluruh dan bukan didorong oleh kepentingan peribadi semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, tindakan Rafizi dan Nik Nazmi juga tidak melanggar peruntukan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berkaitan Akta Anti-Lompat Parti mahupun sebarang bon parti.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh dilaporkan memaklumkan bahawa parti itu akan membincangkan tindakan terhadap beberapa Ahli Parlimen PKR yang hadir pada majlis pengumuman tersebut.
Pemerhati politik pula melihat perkembangan itu berpotensi memberi kesan kepada kestabilan blok reformasi dan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), khususnya jika lebih ramai pemimpin memilih mengambil haluan berbeza.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L