Rafizi, Nik Nazmi Kosongkan Kerusi Parlimen Sebelum Tinggal PKR

Oleh NurFarhana Zulkeply

KUALA LUMPUR —Langkah Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sebelum mengumumkan platform politik baharu dilihat membuka dimensi baharu dalam landskap politik negara pasca Akta Anti Lompat Parti.

Menerusi surat rasmi bertarikh 18 Mei 2026 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kedua-dua pemimpin itu memaklumkan peletakan jawatan mereka sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa serta-merta.

Rafizi dalam suratnya menyatakan beliau meletakkan jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan secara sukarela.

Nik Nazmi pula memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Setiawangsa berkuat kuasa serta merta.

Tindakan itu kemudiannya disusuli kenyataan bersama di media sosial yang mengesahkan mereka akan bergerak di bawah platform Parti Bersama Malaysia (Bersama) serta kembali mendapatkan mandat rakyat menerusi pilihan raya umum.

“Kami mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berikutan hasrat kami untuk meneroka agenda politik yang baru,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua mereka turut menegaskan langkah memulangkan mandat kepada rakyat adalah tindakan yang tepat dan terhormat memandangkan mereka dipilih atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Pemerhati politik melihat tindakan itu berbeza dengan amalan lompat parti sebelum ini apabila seseorang wakil rakyat meninggalkan parti tetapi masih mengekalkan kerusi dimenangi.

Sebaliknya, Rafizi dan Nik Nazmi memilih untuk melepaskan kerusi terlebih dahulu sebelum mengumumkan hala tuju politik baharu mereka.

Langkah itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada tindakan berkenaan berada di luar tafsiran biasa Akta Anti Lompat Parti yang digubal bagi menghalang wakil rakyat bertukar parti tanpa memulangkan semula mandat kepada pengundi.

Dalam masa sama, perbincangan turut tertumpu kepada isu bon atau pampasan RM10 juta yang sering dikaitkan dengan wakil rakyat PKR.

Beberapa pihak mendakwa syarat perjanjian itu hanya boleh dikuatkuasakan sekiranya seseorang ahli Parlimen keluar parti sambil masih memegang jawatan sebagai wakil rakyat.

Setakat ini, tiada dokumen rasmi mengenai syarat bon tersebut didedahkan kepada umum.

Perkembangan terbaharu itu dijangka membuka perdebatan baharu mengenai sempadan undang-undang anti lompat parti, selain menguji penerimaan rakyat terhadap langkah memulangkan mandat sebelum membentuk jajaran politik baharu.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.       

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *