KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menegaskan, dakwaan sesetengah laporan media yang mengaitkan tekanan kerja sebagai punca utama rakyat Malaysia terjebak dalam lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah tidak tepat serta mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata, isu LGBT merupakan satu fenomena sosial yang kompleks dan pelbagai dimensi, justeru ia tidak wajar dirumuskan secara mudah atau disandarkan kepada satu faktor semata-mata.
Menurutnya, sehingga kini penyelidikan berkaitan LGBT di Malaysia masih sangat terhad, sekali gus menyebabkan kekurangan data yang menyeluruh dan komprehensif.
“Buat masa ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mempunyai sebarang data atau statistik rasmi berkaitan jumlah atau populasi golongan LGBT di negara ini, berikutan kekangan penyelidikan dan pengumpulan data yang sistematik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, berdasarkan kajian oleh Sulaiman et al. (2017), keterlibatan seseorang dalam gaya hidup LGBT dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang saling berkait, termasuk pengaruh persekitaran sosial, pengalaman seksual, tekanan kerja, latar belakang keluarga serta faktor peribadi yang lain.
Kajian tersebut, katanya, menegaskan gabungan faktor berkenaan, bukannya satu elemen tunggal, boleh menyumbang kepada pembentukan orientasi dan perlakuan seksual seseorang individu.
Pada masa sama, beliau berkata, penelitian terhadap kajian terdahulu mendapati institusi keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk sahsiah dan tingkah laku individu.
Persekitaran keluarga yang tidak stabil, kurang sokongan emosi serta kelemahan dalam didikan awal dikenal pasti sebagai antara faktor yang memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan identiti diri.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Selain itu, faktor persekitaran sosial yang tidak kondusif, termasuk pengaruh rakan sebaya dan normalisasi perlakuan tertentu dalam sesetengah ruang sosial, turut dikenal pasti sebagai antara elemen yang mempengaruhi kecenderungan seseorang.
Beliau turut menekankan bahawa tahap penghayatan dan kefahaman agama memainkan peranan penting dalam membentuk nilai, moral dan kawalan diri seseorang. Kelemahan dalam amalan dan penghayatan nilai agama, menurut beliau, boleh menjadikan individu lebih terdedah kepada pengaruh luar yang bercanggah dengan norma masyarakat dan ajaran agama.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak, khususnya media, agar melaporkan isu-isu sensitif seperti LGBT secara bertanggungjawab, berfakta dan berpandukan rujukan ilmiah, bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta salah faham terhadap punca sebenar sesuatu isu sosial.
“Pelaporan yang tidak tepat atau bersifat sensasi bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh menjejaskan usaha bersepadu Kerajaan dan agensi berkaitan dalam menangani cabaran sosial secara holistik dan berkesan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan Kerajaan dalam menangani isu sosial termasuk LGBT adalah melalui pendekatan pencegahan, pendidikan, pemerkasaan institusi keluarga serta pengukuhan nilai-nilai agama dan moral, selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan nilai masyarakat Malaysia.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
