Isu siapa calon PM PN tidak perlu dipolemik - Tuan Ibrahim

Fokus Musuh Sebenar, Tuan Ibrahim Ingatkan Rakan Komponen PN

PETALING JAYA – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) menghentikan serangan sesama sendiri susulan kemelut dalaman yang tercetus berhubung isu jawatan pengerusi gabungan itu, sambil mengingatkan pertelingkahan terbuka hanya menguntungkan musuh politik mereka.

Menurut beliau, semua parti dalam PN seharusnya memberi tumpuan kepada musuh politik sebenar, dan tidak membiarkan perbezaan pandangan dalaman dieksploitasi pihak lawan, khususnya gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

“Semua pihak perlu menghentikan kenyataan terbuka di ruang awam yang hanya mengeruhkan keadaan. Sebaliknya, utamakan mekanisme dalaman bagi meleraikan kemelut secara berhemah dan matang,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Tuan Ibrahim menegaskan, PN merupakan gabungan politik harapan sebahagian besar rakyat, khususnya mereka yang mahukan sebuah alternatif kepada kerajaan sedia ada.

Justeru, katanya, sebarang perbalahan dalaman yang dipamerkan secara terbuka bukan sahaja melemahkan persepsi awam terhadap PN, malah membuka ruang kepada seteru politik untuk memecah-belahkan gabungan itu.

“Kesepaduan yang dibina selama ini tentunya tidak disenangi, malah dicemburui oleh seteru politik. Jangan kita sendiri membuka ruang yang memudahkan musuh memecah-belahkan perpaduan PN,” katanya.

Beliau turut menekankan, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam kerjasama politik, namun ia perlu diurus dengan penuh hikmah dan saling menghormati agar muafakat yang telah dibina tidak terlerai.

“Realiti kerjasama politik ialah parti-parti tidak mungkin mendapat segala yang diinginkan. Kompromi adalah satu keperluan. Namun, sikap saling menghormati serta berpegang teguh kepada asas persefahaman adalah kunci kekuatan gabungan,” katanya.

Tuan Ibrahim, yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang, turut menasihatkan pemimpin PN supaya menghentikan kenyataan yang boleh mengguris perasaan rakan muafakat.

“Hentikan kenyataan yang menikam belakang kawan sendiri, apatah lagi berbangga menjatuhkan rakan gabungan. Hormatilah keputusan parti-parti rakan dan bersedialah menerima teguran serta pandangan dengan lapang dada,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, awal hari ini bahawa Bersatu dan Pas telah bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan itu.

Muhyiddin, yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 1 Januari lalu, mendakwa persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan yang diadakan di kediamannya lebih seminggu lalu.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, kedua-dua parti turut bersetuju agar Bersatu menerajui Majlis Presiden PN yang akan berfungsi sebagai badan tertinggi dalam menentukan dasar gabungan, manakala Pas pula mengetuai jawatankuasa eksekutif yang bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran PN.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan Tuan Ibrahim yang menyatakan, perkara berkaitan pemansuhan jawatan pengerusi PN langsung tidak dibincangkan dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, satu surat berasingan daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang dilihat oleh media, menyatakan pendirian parti itu bahawa Majlis Presiden PN seharusnya berperanan sebagai badan penasihat sahaja, manakala kuasa membuat keputusan eksekutif kekal di bawah Majlis Tertinggi PN.

Kemelut ini turut mencetuskan reaksi daripada sayap Pemuda Pas, apabila dua pemimpinnya secara terbuka membidas kenyataan Muhyiddin.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden secara sinis menyindir usaha Presiden Bersatu itu untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberi amaran, seteru politik PN kini sedang memerhati dan bergembira dengan pertelingkahan dalaman yang berlaku, kerana ia selari dengan hasrat mereka untuk melihat gabungan itu berpecah-belah menjelang pilihan raya akan datang.

“Justeru, semua pemimpin PN perlu mengeratkan hubungan sesama sendiri, terutama jika kita benar-benar mahu meraih sokongan rakyat Malaysia pada PRU akan datang,” katanya.

Beliau turut mengulas peranan penulisan dan kenyataan awam dalam suasana genting ini, sambil menegaskan, tidak semua pandangan wajar dilontarkan secara terbuka.

“Ada pihak yang tulisannya baik dan membantu memperkukuh jemaah. Itu penting bagi menjelaskan kekeliruan serta mendokong keputusan parti,” katanya.

“Namun, ada juga pihak yang lebih baik berhenti menulis jika ia hanya berterusan mengelirukan ahli. Maka, tepuk dada tanya selera. Di manakah posisi yang wajar kita ambil demi menjaga muafakat ini?”

Kenyataan Tuan Ibrahim dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan dalaman PN, ketika gabungan itu berdepan cabaran besar untuk mengekalkan kesepaduan dan keyakinan rakyat dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *