Penarikan Balik RUU PSB Disifatkan Kemenangan Rakyat, Bukti Tekanan Awam Berjaya – Marzuki

PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB atau URA) disifatkan sebagai satu kemenangan besar kepada rakyat, khususnya penduduk bandar, sekali gus membuktikan suara awam tidak boleh dipandang remeh.

Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya berkata, penarikan balik rang undang-undang berkenaan menunjukkan tekanan rakyat yang konsisten dan bantahan berasas akhirnya berjaya memaksa kerajaan mengkaji semula dasar yang berpotensi menindas golongan penduduk bandar.

Menurut beliau, RUU PSB yang dicadangkan sebelum ini telah mencetuskan kebimbangan meluas kerana dilihat membuka ruang besar kepada kerakusan kerajaan dan pemaju swasta untuk mengambil alih kawasan bandar atas nama “pembaharuan”, tanpa jaminan perlindungan yang kukuh terhadap hak pemilik serta penduduk asal.

“Penarikan balik RUU ini merupakan kemenangan besar kepada rakyat, khususnya mereka yang telah sekian lama menetap dan membina komuniti di kawasan bandar selama puluhan tahun. Ia membuktikan bantahan yang konsisten, kolektif dan berpaksikan fakta mampu menghalang dasar yang pincang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Marzuki menegaskan, antara aspek paling membimbangkan dalam RUU berkenaan ialah potensi penduduk asal kehilangan kelayakan untuk terus mendiami penempatan yang telah diwarisi secara turun-temurun, hanya kerana kepentingan komersial dan keuntungan jangka pendek pihak tertentu.

Beliau berpandangan, pembangunan bandar tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merampas hak rakyat, apatah lagi meminggirkan komuniti sedia ada yang telah lama menyumbang kepada pembangunan kawasan tersebut.

“Reformasi bandar mesti berpaksikan keadilan sosial, perlindungan hak pemilikan dan persetujuan menyeluruh penduduk. Ia tidak boleh dilaksanakan melalui paksaan undang-undang yang berat sebelah serta menguntungkan pihak berkepentingan tertentu sahaja,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan hakikat RUU PSB telah beberapa kali ditarik balik sebelum ini mencerminkan kelemahan asas dalam perancangannya serta kegagalan kerajaan mendengar pandangan rakyat sejak peringkat awal penggubalan.

“Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar. Sebarang dasar yang menyentuh soal tanah, perumahan dan kelangsungan hidup rakyat tidak boleh digubal secara tergesa-gesa atau terlalu berpihak kepada kepentingan korporat semata-mata,” katanya.

Marzuki turut menyuarakan kebimbangan sekiranya RUU berkenaan dibentangkan semula dalam bentuk atau penjenamaan baharu, namun masih membawa elemen penindasan terhadap rakyat.

“Saya berharap kerajaan tidak membentangkan semula RUU ini dalam apa jua bentuk yang masih menekan rakyat. Rakyat akan terus memantau dan tidak akan teragak-agak untuk bangkit mempertahankan hak mereka sekiranya ancaman yang sama muncul kembali,” ujarnya.

Beliau turut menggesa kerajaan agar melibatkan rakyat secara lebih menyeluruh dalam merangka sebarang dasar pembangunan bandar pada masa hadapan, termasuk mendapatkan pandangan pakar bebas, badan masyarakat sivil serta wakil penduduk yang terlibat secara langsung.

Menurutnya, pembangunan sebenar bukan sekadar pembangunan fizikal atau ekonomi, sebaliknya pembangunan yang menjamin keadilan sosial dan tidak mengorbankan hak serta kesejahteraan rakyat.

“Pembangunan yang sebenar ialah pembangunan yang memelihara rakyatnya, bukan mengusir mereka dari tanah dan komuniti sendiri,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *