SYDNEY – Seorang kanak-kanak lelaki Australia meninggal dunia di hospital selepas digigit jerung di Sydney Harbour, menurut keluarga pada Sabtu, selepas siri serangan jerung berlaku di sepanjang pantai timur negara itu.
Nico Antic, 12, diserang pada Ahad lalu ketika dia dan rakan-rakannya melompat dari batu di Vaucluse, kira-kira 9 kilometer dari pusat bandar Sydney.
Dia ditarik keluar dari air oleh rakan-rakannya dan dibawa ke hospital dengan kecederaan teruk pada kedua-dua kakinya.
“Kami amat berduka untuk berkongsi bahawa anak kami, Nico telah meninggal dunia. Nico adalah seorang kanak-kanak yang ceria, mesra, dan aktif dengan jiwa yang baik dan pemurah.
“Dia sentiasa penuh dengan semangat hidup dan begitulah cara kami akan mengenangnya,” menurut keluarga dalam satu kenyataan.
Berpuluh-puluh pantai, termasuk di Sydney ditutup minggu ini selepas empat serangan jerung dalam tempoh dua hari apabila hujan lebat menyebabkan air menjadi keruh dan lebih berkemungkinan menarik perhatian haiwan terbabit.
September lalu, seorang peselancar atau surfer maut digigit jerung besar di Long Reef Beach, Sydney.
Australia mencatat purata 20 serangan jerung setiap tahun, kurang daripada tiga daripadanya membawa maut, menurut data daripada kumpulan pemuliharaan.
Angka itu jauh lebih rendah berbanding kes lemas di pantai negara berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
