Saya tak takut, kita jumpa di mahkamah - Akmal Saleh

Akmal Sokong BM dan Sejarah Diwajibkan, Minta Dikaji Murid Enam Tahun Masuk Tahun Satu

SHAH ALAM – Pemuda UMNO menyatakan sokongan beberapa langkah reformasi pendidikan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, khususnya penguatkuasaan mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah dalam seluruh sistem pendidikan negara.

Ketuanya, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, langkah mewajibkan kedua-dua mata pelajaran itu termasuk dalam sistem Unified Examination Certificate (UEC) merupakan keputusan berani dan amat dinantikan oleh pelbagai pihak.

Menurut beliau, pengumuman tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh identiti nasional dan kefahaman sejarah dalam kalangan pelajar.

“PMX, ‘you earn my respect’ apabila mewajibkan silibus Bahasa Melayu dan Sejarah kepada seluruh sistem pendidikan negara termasuk UEC. Ini adalah langkah yang sangat berani dan sangat baik,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di laman Facebook pada Selasa.

Bagaimanapun, Dr. Akmal menegaskan, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi, khususnya berkaitan cadangan membenarkan murid berumur enam tahun memasuki Darjah Satu secara sukarela.

Beliau berkata, antara isu utama yang masih membelenggu sistem pendidikan negara ialah kekurangan guru dan fasiliti di sekolah, yang boleh menjadi lebih serius sekiranya jumlah pelajar bertambah tanpa perancangan rapi.

“Masalah utama bukan kerana guru tidak mahu mengajar, tetapi kekurangan bilangan guru dan fasiliti di sekolah. Jika isu asas ini tidak diselesaikan dan kita menambah bilangan pelajar, ia boleh menjejaskan kualiti pembelajaran anak-anak,” katanya.

Beliau turut menekankan masalah kesesakan kelas sedia ada, dengan ada kelas yang menempatkan antara 30 hingga 35 pelajar, sekali gus menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Menurutnya, penambahan murid Darjah Satu bukan sahaja memberi kesan jangka pendek, malah perlu ditanggung sepanjang enam tahun persekolahan di peringkat rendah, justeru memerlukan perancangan yang teliti dan menyeluruh.

Sehubungan itu, Dr Muhammad Akmal menggesa Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan supaya menilai semula cadangan tersebut dan memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah asas dalam sistem pendidikan terlebih dahulu.

“Jika masalah asas ini tidak dapat diselesaikan, saya bimbang ia akan memberi kesan negatif kepada sistem pendidikan negara. Jangan kita tambah masalah baharu,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kebajikan murid dan guru perlu menjadi keutamaan dalam setiap usaha reformasi pendidikan demi memastikan kualiti pendidikan negara terus terpelihara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *