PUTRAJAYA – Bapa kepada bekas model warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu menegaskan, perjuangan keluarganya selama hampir dua dekad bukan bertujuan menuntut pampasan kewangan semata-mata, sebaliknya demi menegakkan keadilan serta mendapatkan satu permohonan maaf yang ikhlas dan rasmi.
Dr. Shaariibuu Setev, 75, berkata, kematian tragis anak perempuannya pada 2006 meninggalkan luka mendalam yang tidak dapat diubat dengan wang ringgit.
Menurut beliau, apa dicarinya sejak 20 tahun lalu hanyalah pengakuan kesalahan dan permohonan maaf yang jujur atas jenayah yang telah berlaku.
Dalam satu kenyataan media, Shaariibuu berharap keputusan Mahkamah Rayuan yang diputuskan semalam dapat diteliti dan difahami secara mendalam oleh rakyat Malaysia.
“Selama ini, kami tidak pernah mengejar wang. Apa yang kami mahukan hanyalah satu permohonan maaf yang tulus atas pembunuhan anak saya,” katanya.
Beliau menjelaskan, permohonan maaf itu tidak seharusnya datang daripada rakyat Malaysia secara umum, walaupun beliau menghargai simpati dan sokongan yang diberikan selama ini.
“Permohonan maaf rasmi perlu dibuat kepada kerajaan Mongolia serta rakyatnya, bukan sekadar kepada keluarga kami secara peribadi,” tegasnya.
Selain itu, Shaariibuu turut menyuarakan keinginannya untuk mengetahui identiti individu yang didakwa memberi arahan kepada dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar berhubung pembunuhan anak perempuannya.
Menurutnya, pendedahan kebenaran tersebut amat penting bagi merungkai persoalan yang menghantuinya selama ini.
“Apabila kebenaran itu dibuktikan di hadapan mahkamah menurut undang-undang, maka tidak ada lagi alasan untuk mengelak daripada mengeluarkan satu permohonan maaf secara rasmi,” katanya.
Semalam, Mahkamah Rayuan memerintahkan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda serta dua bekas anggota UTK, Azilah dan Sirul, membayar ganti rugi berjumlah RM1.4 juta kepada keluarga Altantuya. Jumlah itu merupakan pengurangan daripada RM5 juta yang sebelum ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Keputusan tersebut dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah selepas membenarkan rayuan kerajaan Malaysia dan Abdul Razak berhubung kuantum ganti rugi.
Pecahan bayaran tersebut meliputi ganti rugi teruk sebanyak RM1 juta, tuntutan tanggungan RM384,000, perbelanjaan berkabung RM10,000 serta kos pengebumian RM15,000.
Pada 16 Disember 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membenarkan saman sivil yang difailkan keluarga Altantuya terhadap empat defendan termasuk kerajaan Malaysia.
Saman tersebut difailkan oleh Shaariibuu; ibu Altantuya, Altantsetseg Sanjaa; serta dua anak lelaki mangsa, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga pada 4 Jun 2007. Mereka mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan trauma mental dan psikologi yang serius, sekali gus melayakkan mereka menerima pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.
Azilah dan Sirul dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, Abdul Razak sebagai defendan ketiga, manakala kerajaan Malaysia sebagai defendan keempat. Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga dikeluarkan daripada senarai plaintif selepas meninggal dunia pada 2017.
Altantuya, yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam rundingan pembelian kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, Direction des Constructions Navales (DCN) kepada kerajaan Malaysia dibunuh pada 18 Oktober 2006.
Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan mengerikan di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor berhampiran Empangan Tasik Subang. Mangsa dipercayai diletupkan antara jam 10 malam, 19 Oktober hingga 1 pagi, 20 Oktober 2006.
Pada 31 Oktober 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak dari tuduhan bersubahat dalam pembunuhan tersebut. Namun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul selepas mereka didapati bersalah membunuh Altantuya.
Sirul kemudiannya ditahan oleh pihak imigresen Australia pada Januari 2015, namun tidak dihantar pulang ke Malaysia berikutan dasar negara itu yang tidak membenarkan ekstradisi individu yang berdepan hukuman mati.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L