Kerajaan disyor perkenal Anugerah Pemimpin TVET Terulung Negara

Oleh Rudy Sham Abdul Raof

DEMI mengangkat martabat permata industri kemahiran negara, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) seharusnya bertindak lebih agresif dan tuntas dengan memperkenalkan Anugerah Pemimpin TVET Terulung, meletakkan industri berkenaan ke tahap lebih profesional, sekali gus disanjung tinggi.

Sememangnya sudah tiba masanya semua pihak berhenti melihat TVET sebagai kerjaya alternatif atau pilihan kedua, malah pengiktirafan itu dilihat sebagai ‘pembuka bicara’ buat generasi akan datang semakin ‘berbunga’ untuk menjadi sebahagian daripada pemain industri berkemahiran tinggi.

Sudah semestinya negara sedang membina jambatan buat generasi muda kepada perkara yang bernilai tinggi dan rangkaian serta pengiktirafan sebegini pastinya membangkitkan lebih banyak keinginan untuk melihat perbelanjaan kerajaan dalam mengangkat martabat TVET terus dihargai.

Pelbagai agensi memainkan peranan dalam mengusahakan atau melahirkan generasi TVET – Bernilai Tinggi dan Pendapatan Tinggi – namun tanpa meletakkan pemain industri berkemahiran tinggi di tempat sepatutnya, usahlah kita bermimpi untuk meyakinkan rakyat di luar sana, apakah sebenarnya TVET untuk mereka?

Malaysia mempunyai pelbagai institusi pengajian berkemahiran tinggi seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), ini tidak termasuk lagi Giat MARA, Sekolah Vokasional dan Politeknik, peringkat universiti dan pelbagai lagi, dengan melahirkan cendikiawan bijaksana dalam aspek ini.

Namun, pernahkah kita terfikir untuk mengangkat satu nama sebagai Ikon TVET Terulung Negara bagi membangkitkan semangat kepada generasi muda?

Persoalan ini seharusnya perlu dimainkan dan menjadi perdebatan di kalangan produk yang dilahirkan agensi terbabit, kerana kesungguhan meletakkan TVET berdiri sama tinggi dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) selari dengan hasrat Kerajaan.

Sehingga kini, anugerah yang diperkenalkan menerusi TVET hanyalah Anugerah TVET dan Pendidikan Malaysia serta Anugerah TVET Star PolyCC (Kolej Komuniti sahaja). Tiada langsung kita mengangkat individu terpilih sebagai pemimpin ulung dalam bidang ini.

Landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal di negara ini sedang melalui fasa kritikal daripada sebuah bidang alternatif kepada arus perdana yang memacu ekonomi negara.

Justeru, keperluan memperkenalkan anugerah berprestij bertaraf nasional dan antarabangsa menjadi sangat relevan.

Pengiktirafan itu bertujuan menonjolkan individu yang bukan sahaja memiliki kecemerlangan dalam tadbir urus awam, tetapi juga mempunyai sinergi yang kuat dengan sektor swasta serta impak yang diakui peringkat global.

Sebagai cadangan permulaan, Konsep Pemimpin TVET Terulung memerlukan gabungan unik antara kepakaran teknikal (hard skills), kebijaksanaan kepimpinan (soft skills) dan keupayaan intelektual.

Kita sepatutnya perlu melihat ke hadapan dan harus berlegar dalam minda, mengapa dalam bidang akademik, gelaran Professor Emeritus atau Tokoh Sastera sangat dijulang, manakala dalam TVET, pakar teknikal yang mempunyai jasa merentas sempadan sering dianggap sebagai ‘pekerja mahir’ semata-mata tanpa sebarang darjah kebesaran atau pengiktirafan ikonik yang khusus.

Cadangan ini adalah untuk memastikan kerajaan mewujudkan satu ‘Standard Emas Pengiktirafan TVET’ yang bukan sekadar piala, tetapi satu mandat untuk individu terpilih itu terus memacu polisi negara.

Oleh itu, sebuah Jawatankuasa Khas Penilaian dan Pemilihan (The Evaluation Committee) perlu dibentuk dan diterajui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi agensinya, Jabatan Pembangunan Kemahiran demi melaksanakan impian berkenaan.

Antara cadangan jawatankuasa khas itu ialah:

~ Pengerusi – Tokoh Industri Veteran (Bebas)

~ Wakil Kerajaan – Pegawai Kanan dari Kesuma dan Kementerian Pendidikan Tinggi

~ Wakil Badan Profesional – Lembaga Jurutera (atau cadangan lain)

~ Wakil Agensi Antarabangsa – Wakil Dewan Perniagaan

~ Wakil Akademik – Tokoh Akademik yang cenderung ke arah

Pembangunan/Kemahiran

~ Wakil Media – Portal/Media Cetak/Media ElektronikJawatankuasa Khas yang ditubuhkan itu tidak hanya melihat dari sudut resume (biodata) sahaja, tetapi menilai dari segi:

~ Nilai Ekonomi – Berapa banyak kos yang dijimatkan atau pendapatan yang dijana oleh inovasi berkenaan kepada negara?

~ Kesan Sosial – Sejauh mana individu berkenaan berjaya mengangkat martabat dari golongan B40 melalui Latihan TVET?

~ Keberlanjutan (Sustainability): Adakah sumbangan beliau bersifat one-off atau memberi kesan jangka panjang kepada polisi negara?

Secara kesimpulannya, marilah kita sama-sama melihat TVET ini menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat. Jika dulu orang lama berbicara – sekurangnya kita lihatlah walaupun seorang anak berjaya menjejak kaki ke menara gading (universiti), kini apa kata biarlah kedengaran sekiranya ada juga seorang anak mampu menjadi pemain Indutsri Kemahiran Tinggi yang dilahirkan di Akademi/Pusat Kemahiran Tinggi Negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *