PRK Kinabatangan, Lamag: BN Pertaruh Naratif Kestabilan Politik Sabah Pikat Pengundi

KINABATANGAN – Kestabilan politik Sabah susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan negeri dilihat menjadi naratif utama Barisan Nasional (BN) dalam usaha meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, maklum balas sepanjang sembilan hari kempen menunjukkan penerimaan positif masyarakat setempat terhadap calon BN, sekali gus mencerminkan keyakinan pengundi terhadap kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.

“Setakat ini, sambutan terhadap calon BN adalah memberangsangkan. Kedua-dua calon Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag telah menjelajah hampir keseluruhan kawasan masing-masing.

“Isu paling penting bagi pengundi ialah kestabilan politik di Sabah, kerana ia menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta memastikan rakyat terus menikmati kemakmuran dan pembangunan yang dirancang kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, sentimen di peringkat akar umbi menunjukkan sebahagian pengundi berpandangan sokongan kepada parti pembangkang tidak lagi memberikan nilai tambah memandangkan kerajaan negeri telah dibentuk menerusi kerjasama BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus mewujudkan landskap politik yang lebih stabil.

Dalam konteks persaingan politik tempatan, Jafry berkata, sinergi antara calon Parlimen Kinabatangan dan calon DUN Lamag yang masing-masing calon muda turut menjadi kelebihan BN dalam mendekati pengundi, khususnya golongan belia.

Menurut beliau, faktor itu selari dengan demografi pengundi Kinabatangan, apabila lebih separuh daripada 48,722 pemilih berdaftar, iaitu 57.17 peratus, terdiri daripada golongan muda, menjadikan kumpulan tersebut sebagai penentu utama keputusan PRK kali ini.

Selain naratif kestabilan, Jafry berkata, BN turut menyesuaikan strategi kempen dengan realiti politik setempat apabila memberi tumpuan kepada pendekatan bersemuka, termasuk pertemuan kelompok kecil serta kempen dari rumah ke rumah, berbanding ceramah berskala besar.

“Pendekatan ini membolehkan calon berinteraksi secara langsung dengan pengundi dan memahami isu tempatan dengan lebih mendalam serta dilihat lebih berkesan dalam meraih sokongan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, beberapa program kempen melibatkan kepimpinan tertinggi parti, termasuk Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan berlangsung dalam tempoh terdekat bagi mengukuhkan lagi sokongan kepada calon BN.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan calon BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar berdepan saingan Datuk Saddi Abdul Rahman dari Parti Warisan serta calon Bebas, Goldam Hamid.

Sementara itu, PRK DUN Lamag memperlihatkan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Ismail Ayob dan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.

Kedua-dua PRK diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 24 Januari ini, manakala pengundian awal dijadualkan berlangsung pada Selasa ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *