USIM UA Pertama Laksanakan Waktu Bertugas Syif Komprehensif Untuk Pegawai Dalam Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan

Oleh: Mohd Ridzuan Shafie

NILAI -Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai Universiti Awam (UA) pertama di Malaysia melaksanakan Waktu Bertugas Syif Komprehensif khusus untuk pegawai dalam Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan.

Pelaksanaan inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam memperkukuh tadbir urus kesejahteraan warga keselamatan kampus yang lebih sistematik, harmoni, efisien dan berorientasikan kebajikan warga kerja.

Selaras dengan penjenamaan nama baharu untuk jabatan ini yang sebelum ini dikenali dengan nama Jabatan Keselamatan dan ditukarkan kepada Jabatan Keselamatan Dan Penguatkuasaan USIM akronim dengan singkatan DSE pada awal November lalu.

Secara ringkasnya, Waktu Bekerja Syif yang dilaksanakan adalah jumlah jam bekerja telah dipatuhi sebanyak 180 jam bersamaan empat minggu berturutan iaitu mengoptimumkan penugasan 12 jam bertugas dalam sehari dan dijadualkan untuk seorang pegawai bertugas secara dua hari On Duty dan dua hari Off Duty secara berterusan.

Pelaksanaan waktu bertugas komprehensif ini dirangka secara holistik untuk semua pegawai yang bertugas pada Waktu Bertugas Bukan Pejabat (WBBP) atau dikenali Waktu Bekerja Syif pada peringkat USIM dengan mengambil kira keperluan operasi keselamatan kampus yang berfungsi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Sebagai sebuah universiti yang pesat membangun, USIM memerlukan sistem penugasan yang bukan sahaja berkesan dari sudut kawalan keselamatan, malah adil dan seimbang dari aspek pengurusan sumber manusia.

Menurut Pengarah DSE USIM, Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin, antara objektif utama pelaksanaan sistem ini adalah meliputi keselamatan yang optimum di seluruh kawasan kampus, termasuk kolej kediaman, bangunan akademik, pusat pentadbiran dan kawasan awam.

Katanya, melalui penjadualan waktu bertugas yang lebih tersusun dan fleksibel, setiap pegawai dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih fokus, berdisiplin serta mematuhi keperluan operasi semasa.

“Selain itu, Waktu Bertugas Syif yang komprehensif ini turut mengambil kira kebajikan pegawai secara menyeluruh.

“Penyusunan jadual syif yang lebih seimbang membantu mengurangkan keletihan fizikal dan mental, seterusnya meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta profesionalisme pegawai keselamatan.

“Pendekatan ini selari dengan prinsip dan teras jabatan sendiri iaitu Teras 4K (Keselamatan, Kesepakatan, Kesejahteraan, Kelestarian Kewangan) pengurusan sumber manusia moden yang menitikberatkan kesejahteraan pekerja sebagai faktor utama keberkesanan organisasi,” katanya.

Dari sudut pematuhan peraturan, pelaksanaan ini juga diselaraskan dengan pekeliling perkhidmatan awam serta garis panduan berkaitan waktu bekerja, kerja lebih masa dan hari kelepasan mingguan.

Ia sekali gus memastikan setiap penugasan yang diberikan mempunyai punca kuasa yang jelas serta direkodkan secara teratur melalui sistem pengurusan yang ditetapkan.

Pengurusan USIM melihat pelaksanaan Waktu Bertugas Komprehensif ini sebagai satu langkah strategik dalam memperkasa Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan agar lebih berdaya saing dan responsif terhadap cabaran keselamatan semasa.

Dalam era yang menuntut tahap keselamatan yang tinggi, keupayaan untuk bertindak pantas dan terancang merupakan elemen kritikal dalam mengekalkan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif.

Lebih membanggakan, inisiatif ini turut membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan melalui pemantauan dan penilaian berkala. Maklum balas daripada pegawai pelaksana akan dijadikan asas untuk menilai keberkesanan sistem serta mengenal pasti ruang penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Pendekatan ini membuktikan kesediaan USIM untuk mendengar pandangan warga kerja dan menyesuaikan dasar mengikut keperluan sebenar di lapangan.

Sebagai UA pertama yang melaksanakan sistem waktu bertugas komprehensif bagi pegawai keselamatan, USIM diharapkan dapat menjadi penanda aras kepada institusi pengajian tinggi lain di Malaysia.

Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan imej profesional jabatan keselamatan universiti, malah menyumbang kepada pembentukan ekosistem kampus yang lebih selamat, teratur dan berdaya tahan.

Kesimpulannya, pelaksanaan Waktu Bertugas Syif yang komprehensif ini USIM membuktikan kesungguhan universiti ini dalam mengimbangi keperluan operasi, pematuhan peraturan serta kebajikan pegawai.

Langkah proaktif ini selaras dengan aspirasi USIM untuk terus maju sebagai universiti berteraskan nilai Islam yang cemerlang dalam tadbir urus, pengurusan dan keselamatan kampus.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *