Muhyiddin wajar mohon maaf, pulih keraguan terhadap Agong - Dr. Akmal

Pengurusan sebuah portal berita hadir ke PAU hari ini, mohon maaf isu grafik babi

KUALA LUMPUR – Pengurusan sebuah portal berita memaklumkan akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini bagi mengadakan pertemuan secara langsung dengan kepimpinan UMNO untuk menyampaikan permohonan maaf susulan kesilapan serius melibatkan penyiaran grafik tidak wajar dalam artikel berkaitan persidangan parti itu.

Menurut portal berkenaan, kehadiran mereka ke PAU adalah bagi memenuhi tuntutan Pemuda UMNO serta menunjukkan keikhlasan memohon maaf secara bersemuka berhubung insiden penyiaran grafik gambar babi yang secara tidak sengaja dipadankan dengan tajuk dan laporan mengenai UMNO dan PAU.

Memetik kenyataan pengurusan portal tersebut, mereka telah menghubungi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh kelmarin bagi menyampaikan permohonan maaf awal serta memaklumkan hasrat untuk bertemu secara terus pimpinan parti.

Selain itu, mereka turut menghubungi pejabat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semalam bagi tujuan yang sama.

Portal berkenaan menegaskan, pihaknya amat kesal dengan kesilapan berlaku dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden tersebut yang mencetuskan kemarahan dan rasa tidak senang dalam kalangan ahli serta penyokong UMNO.

“Pihak kami dengan rendah hati memohon maaf atas beberapa kesilapan grafik yang dimuat naik di platform media sosial kami semalam, termasuk penggunaan tajuk laporan berkaitan PAU pada imej yang sama sekali tidak berkaitan, antaranya grafik isu ladang babi.

“Insiden tersebut berlaku apabila portal berita kami secara tidak sengaja menyiarkan tiga grafik yang sebenarnya disediakan untuk laporan berbeza, menyebabkan ketidakpadanan antara teks, imej dan keterangan grafik yang digunakan,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan laporan berkenaan, dua daripada grafik terbabit telah tersilap menggunakan tajuk artikel bahasa Melayu berkaitan PAU yang membincangkan peranan serta platform UMNO dalam menentukan hala tuju dan masa depan parti.

Lebih mencetuskan kontroversi, satu hantaran media sosial menggunakan tajuk berkaitan UMNO bersama grafik memaparkan gambar babi di sebuah ladang.

Portal tersebut menjelaskan, imej itu sebenarnya disediakan untuk laporan berasingan mengenai isu penternakan babi di Selangor, khususnya melibatkan kawasan Tanjung Sepat, dan tiada kaitan langsung dengan UMNO atau PAU.

Kesilapan kedua pula melibatkan penggunaan tajuk berkaitan UMNO bagi grafik yang sepatutnya mengiringi artikel mengenai perkongsian pengalaman seorang pegawai Kor Perkhidmatan Islam Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) yang menyentuh isu penggunaan istilah ‘parti yeye’.

Sementara itu, grafik ketiga turut didapati menggunakan tajuk yang tidak tepat apabila tajuk mengenai Pas yang mengkritik Presiden UMNO berhubung isu imej penasihat DAP, Lim Guan Eng, digunakan pada grafik yang sebenarnya disediakan untuk laporan lain.

Grafik tersebut sepatutnya mengiringi laporan berkaitan gesaan Guan Eng supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, campur tangan dalam kes pertuduhan rogol yang hukuman atau pertuduhannya diringankan.

Portal berita itu turut memaklumkan bahawa kesemua hantaran yang mengandungi kesilapan berkenaan telah diturunkan daripada semua platform media sosial mereka.

Pada masa sama, satu semakan dalaman sedang dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kesilapan tersebut serta memperketatkan prosedur editorial agar insiden sama tidak berulang pada masa hadapan.

Terdahulu, semalam, Pemuda UMNO memberi tempoh 24 jam kepada portal berita berkenaan untuk hadir ke Dewan Merdeka, WTCKL, bagi membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kesilapan menyiarkan grafik gambar babi dalam artikel berkaitan PAU yang disifatkan sebagai sensitif dan tidak menghormati parti.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, pihaknya tidak mahu permohonan maaf dibuat secara tertulis semata-mata melalui laporan media, sebaliknya menuntut penjelasan dan permohonan maaf secara bersemuka sebagai tanda tanggungjawab serta keikhlasan daripada pihak portal berita terbabit.

BERITA ASAL

Pemuda UMNO menuntut portal Malaysiakini, memohon maaf di pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, menyusuli kesilapan memasukkan grafik babi pada laporan berkaitan hala tuju Umno dalam Kerajaan Perpaduan.

Tuntutan itu disuarakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Pemuda Umno sempena PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada 15 Januari.

“Semalam ada satu kenyataan dan artikel daripada sebuah portal berita. Artikel tentang ‘Perhimpunan Agung Umno menentukan hala tuju dalam Kerajaan Perpaduan’. Dia letak gambar babi.

“Saya tak mahu Malaysiakini sekadar menerbitkan artikel permohonan maaf. Saya dan Pemuda Umno beri kamu tempoh 24 jam.

“Kami tuntut kamu datang dewan ini, minta maaf secara terbuka di pentas PAU 2025 ini,” tegasnya.

Datuk Dr Akmal turut menegaskan andai portal berita itu tidak hadir dan meminta maaf, pihaknya akan ke pejabat mereka.

“Nak berlembut kita boleh berlembut. Kamu cakap baik-baik, kami boleh respon baik. Tetapi kalau kamu kurang ajar, saya dan juga Pemuda boleh 100 kali kurang ajar kepada kamu,” katanya.

Terdahulu Malaysiakini sudah mengeluarkan permohonan maaf atas beberapa kesilapan grafik di media sosial portal berita itu, termasuk yang menggunakan tajuk laporan mengenai PAU pada imej yang dimaksudkan bagi laporan mengenai isu ladang babi.

Malaysiakini, dalam satu kenyataan pada 15 Januari, mengakui telah secara silap menyiarkan tiga grafik di media sosial yang dimaksudkan untuk laporan berlainan, dengan teks pada grafik tersebut tidak sepadan dengan gambar yang digunakan mahupun keterangannya.

Dua daripada grafik tersebut secara salah menggunakan tajuk artikel bahasa Melayu tentang PAU akan menjadi platform untuk Umno menentukan hala tuju.

Satu hantaran media sosial menggunakan tajuk berkaitan Umno itu, di mana ia digunakan secara salah pada grafik gambar babi di sebuah ladang.

Malaysiakini turut memadam hantaran berkenaan di media sosialnya.

“Malaysiakini memohon maaf atas kesilapan tersebut. Semakan dalaman telah dimulakan untuk memastikan kesilapan itu tidak berulang.

“Ini merupakan kesilapan yang amat dikesali, dan di Malaysiakini, kami percaya adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mengakui dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya perkara ini,” kata Editor Eksekutif Malaysiakini, RK Anand.

Editor Malaysiakini akan hadir ke PAU pada 16 Januari, untuk bertemu pemimpin parti dan memohon maaf atas kesilapan itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *