PETALING JAYA – Seorang pemimpin Pas menyifatkan harapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar Pas terbubar hanya kerana UMNO meminda perlembagaannya, sebagai tidak masuk akal.
Bendahari Pas, Datuk Iskandar Samad berkata, UMNO yang wajar menilai semula kewujudannya berdasarkan prestasi parti itu pada PRU15.
“Kalau betul nak bubar, bubarlah UMNO kerana UMNO ditolak rakyat pada PRU lepas,” katanya seperti dipetik portal FMT.
“Pas telah diterima oleh rakyat, terutama umat Islam. Buktinya kerusi Pas jauh lebih banyak daripada kerusi UMNO. Tak masuk akal nak bubar Pas,” ujarnya.
Iskandar mengulas kenyataan Zahid Hamidi, yang berharap Pas akan terbubar selepas UMNO memasukkan agama Islam dalam perlembagaannya pada 2019.
Zahid mendakwa, bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata, Pas akan dibubarkan jika UMNO meletakkan Islam dalam perlembagaannya.
Perhimpunan Agung UMNO pada 2019 meluluskan usul pindaan perlembagaan yang antara lain meletakkan agama di hadapan, disusuli bangsa dan negara.
Pada 2008, media melaporkan (Allahyarham) Nik Abdul Aziz mencadangkan UMNO dan Pas dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baharu berlandaskan Islam, bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L